SAUDARA PENGARANG,
BANYAK sudah laporan akhbar berkenaan kes kemalangan jalan raya yang berpunca daripada microsleep (terlelap seketika).
Ia boleh berlaku kesan daripada kekurangan tidur sehingga menyebabkan mengantuk dan boleh tertidur sejenak pada masa itu terutama jika sedang melakukan aktiviti yang tidak memerlukan banyak pergerakan.
Faktor-faktor penyebab lain adalah terlalu penat dan jadual tidur tidak menentu. Situasi sedemikian mendatangkan bahaya sekiranya sedang memandu atau mengendalikan jentera berat yang sudah tentu boleh menyebabkan kemalangan.
Masalah itu dapat dielakkan dengan meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang bahaya fenomena terlelap seketika ketika memandu jarak jauh.
Kempen ini haruslah dijalankan dengan kerjasama jabatan kerajaan dan pihak swasta agar kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan. Mereka harus disedarkan bahawa musuh utama negara bukan sahaja dadah malah fenomena terlelap seketika.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mempunyai pengalaman perlu terlibat aktif dalam kempen ini agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar.
Semoga dengan adanya kerjasama sedemikian, ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan membantu mengurangkan kes kemalangan yang berpunca daripada masalah terlelap sejenak.
Di samping itu, kempen kesedaran ini hendaklah diadakan secara berkala agar masyarakat lebih peka terhadap perkara ini.
Dalam pada itu, antara petua yang boleh diamalkan bagi mengurangkan masalah terlelap seketika adalah jangan memandu jika mengantuk, tukar pemandu jika perjalanan jauh, mendengar radio sepanjang perjalanan dan memastikan mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.
Jika terlalu mengantuk, berhenti seketika untuk tidur sekurang-kurangnya 20 minit, mempunyai teman berbual sepanjang perjalanan, membuat pergerakan badan bagi menghilang mengantuk dan mengambil vitamin atau meminum minuman mengandungi kafein bagi menghilang rasa mengantuk.
Selain itu, perkara-perkara perlu dielakkan terutama bagi mereka yang akan menempuh perjalanan jarak jauh adalah jangan mengambil sebarang ubat-ubatan boleh menyebabkan mengantuk. – UTUSAN
MUHD. NOORFARIS HAFIZUDDIN NOORDIN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)