Terimalah teknologi AI dengan hati terbuka - Utusan Malaysia

Terimalah teknologi AI dengan hati terbuka

ADA rakyat Malaysia yang meluahkan perasaan tidak senang jika teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robot mengambil alih peranan tenaga manusia sepenuhnya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKIRANYA dibaca komen dalam media sosial, ada dalam kalangan rakyat yang meluahkan perasaan tidak senang jika teknologi kecerdasan buatan (AI) mengambil alih peranan tenaga manusia sepenuhnya.

“Semakin ramailah yang menganggur lepas ini,” komen salah seorang warganet yang turut memberi respons terhadap isu ini.

Dikatakan terdapat 10 bidang pekerjaan yang diancam teknologi AI antaranya buruh, pentadbiran, kemasukan dan analisis data, pengangkutan serta jualan.

Bidang-bidang lain ialah pemasaran, perkhidmatan dan kewangan, penjagaan kesihatan, perundangan, kewartawanan serta sumber manusia.

Jika bidang-bidang ini diambil alih AI, ia akan menjejaskan ekonomi rakyat yang bekerja di dalam sektor tersebut terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Selain menjejaskan pekerja sedia ada yang terpaksa mencari bidang pekerjaan baharu, Malaysia juga berhadapan dengan realiti lebih 90,000 graduan dijangka berdepan masalah pengangguran dalam tempoh lima tahun akan datang akibat kekurangan peluang pekerjaan.

Persoalannya, adakah benar teknologi AI berpotensi menjejaskan pasaran pekerjaan sedia ada di seluruh dunia termasuk Malaysia pada masa akan datang?

Bagi menjawabnya, kita perlu memahami apakah itu teknologi AI yang sudah tidak asing lagi bagi masyarakat kerana sudah lama diguna pakai dalam memudahkan urusan seharian seperti enjin carian (Google dan Yahoo), navigasi Google, permainan video (DOTA 2) serta platform e-dagang (Shopee dan Lazada).

Ia merujuk kepada sistem atau mesin yang mensimulasikan kecerdasan manusia. Ini membolehkan mesin ini belajar dan berfikir sendiri di samping dapat membuat keputusan tanpa bantuan manusia.

Selain itu, teknologi ini semestinya dapat menjimatkan masa dan tenaga kerja manusia kerana ia mampu diautomasi untuk melaksanakan kerja melibatkan pemprosesan seperti di sektor perkilangan dan pembuatan.

Malah, aplikasi AI bukan sahaja terhad kepada perkhidmatan tetapi semakin penting dalam sektor pembuatan yang mana diunjurkan teknologi dipacu AI dapat meningkatkan produktiviti pekerja sehingga 40 peratus dalam 16 industri menjelang 2035.

Justeru, penggunaan AI bukan penghalang bagi mencapai kemajuan dalam sesuatu sektor pekerjaan akan tetapi ia juga banyak memberi kemaslahatan dalam meringankan bebanan kerja seharian.

Dari sudut lain pula, dapat kita telusuri bahawa teknologi AI mampu memberi kebaikan kepada masyarakat khususnya pelajar dalam bidang pendidikan.

Buktinya, penggunaan Google Translate yang digunakan secara meluas yang mana bukan sahaja dimanfaatkan oleh pelajar malah orang awam berkepentingan.

Sehubungan itu, pengaplikasian ChatGPT yang berupaya menterjemah, mempercepat proses pengumpulan idea dan analisis data teks juga memudahkan kerja-kerja carian.

Terutama sekali bagi mahasiswa yang ingin mencari idea untuk menulis dan menyiapkan tugasan diberikan pensyarah dengan mudah dan e­fisien tanpa memerlukan penelitian daripada laman web berbeza.

Saya berpendapat, AI tidak akan mengakibatkan pengangguran besar-besaran. Sebaliknya, ia akan mencipta lebih banyak pekerjaan lain yang memerlukan kemahiran baharu.

Ini memerlukan pelaburan yang signifikan dalam menaik taraf kemahiran dan membina semula kemahiran tenaga muda.

Kerajaan perlu bersedia kerana dalam tempoh lima tahun akan datang, separuh daripada tenaga kerja memerlukan kemahiran-kemahiran baharu atau pembelajaran semula kesan daripada pengenalan teknologi AI. – UTUSAN

RAUDHATUS SANIYAH MAT JAIS, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya