SAUDARA PENGARANG,
SAYA amat tertarik dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya murid sekolah dilatih untuk mencuci tandas.
Saya percaya ada pihak yang membantah atas alasan anak mereka dihantar ke sekolah untuk belajar, bukan mencuci tandas.
Mereka lupa, mencuci tandas adalah sebahagian daripada pelajaran ikhtiar hidup. Murid yang dilatih mencuci tandas akan belajar menghargai kebersihan.
Mereka juga akan sedar bagaimana ibu bapa membuat kerja di rumah. Di samping itu, mereka akan lebih menghormati dan menghargai tukang cuci yang selama ini memastikan tandas dan kawasan sekitar sekolah sentiasa bersih.
Amalan ini telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Jepun dan Singapura. Bahkan, sudah diamalkan di Malaysia semasa Anwar menjadi Menteri Pelajaran.
Untuk menjadikan latihan mencuci tandas lebih menarik, boleh diadakan pertandingan tandas terbersih antara sekolah-sekolah dari peringkat daerah ke peringkat kebangsaan.
Bagaimanapun, tanggungjawab hakiki untuk memastikan kebersihan tandas dan persekitaran sekolah sentiasa terpelihara masih terletak pada kontraktor pembersihan yang dilantik.
Dalam hal kebersihan tandas, turut bertanggungjawab ialah Kementerian Pendidikan untuk memastikan kemudahan yang disediakan di sekolah-sekolah sentiasa terjaga dan berfungsi.
Tandas tidak akan bersih sekiranya singki bocor, air melimpah ke lantai dan pam tidak berfungsi sehingga menyebabkan najis bertakung dalam mangkuk tandas.
Semua pihak termasuk kementerian, sekolah, kontraktor pembersihan yang dilantik, guru dan murid mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama memelihara kebersihan. – UTUSAN
NORUDDIN IDRIS, Presiden Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC)