SAUDARA PENGARANG,
SESUATU yang memeranjatkan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan hampir 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Perkara ini menurut kerajaan adalah masalah yang terpaksa diwarisi kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hampir dua tahun dari 2020 yang menyebabkan segelintir pelajar hilang minat untuk menamatkan pendidikan tahap menengah tinggi secara sempurna.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad pula dilaporkan berkata, negara ini sedang berhadapan krisis sistem pendidikan sehingga gagal membina struktur modal insan berkeupayaan tinggi.
Gesaan oleh Anuar supaya suatu langkah drastik dilakukan disahut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Arahan telah dikeluarkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mengesan pelajar tercicir SPM 2022 untuk menduduki semula peperiksaan atau beralih ke program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Anwar menyatakan kerisauan terhadap kesemua pelajar tercicir kerana majoritinya golongan desa dan miskin bandar terdiri daripada orang Melayu dan India.
Mobilisasi sosial tidak akan berlaku kepada golongan tersebut tanpa asas pendidikan cemerlang. Tidak mungkin mereka dapat membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan jika tidak diberi peluang pendidikan kali kedua.
Kesannya bukan sahaja kepada diri pelajar tersebut, malah negara ini yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Difahamkan, Fadhlina telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan mendalam bersama beberapa kementerian lain bagi memahami punca sebenar ketidakhadiran calon SPM untuk menduduki peperiksaan.
Pada masa sekarang langkah terbaik boleh dilakukan KPM adalah berusaha menambah baik sistem pengajaran serta pembelajaran berasaskan teknologi dan digital.
KPM juga difahamkan akan meneruskan penyediaan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan bagi menyokong peranan guru dalam mendidik.
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh usaha KPM, namun perlu diingatkan bahawa pembangunan belia (termasuk bidang akademik) tidak hanya bergantung kepada teknologi dan persekitaran persekolahan semata-mata.
Perlu dilibatkan sama pertubuhan belia bagi membantu pelajar membina jati diri. Tanpa jati diri yang mantap, mereka boleh hanyut dalam mengejar impian yang sia-sia seperti menjadi jutawan berasaskan kandungan media sosial.
Kepentingan pendidikan adalah lebih besar daripada matlamat untuk mengumpul kekayaan material keduniaan. Pendidikan perlu dilihat sebagai ‘kenderaan’ untuk mengangkat status individu dan negara.
Justeru, MBM sentiasa bersedia menjadi rakan pembangunan negara bersama KPM bagi membantu membawa kembali hampir 30,000 pelajar tercicir SPM 2022 kembali ke dunia akademik. – UTUSAN
MOHD. FAUZI FADZIL, Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan, Majlis Belia Malaysia (MBM)