SAUDARA PENGARANG,
ISU tuntutan hak milik kerajaan negeri Kedah ke atas Pulau Pinang telah berlarutan untuk satu tempoh yang terlalu lama. Ia perlu menemukan titik noktah melalui satu perintah mahkamah dan bukannya menerusi saluran politik.
Tidak boleh menyalahkan kerajaan negeri Kedah yang dikatakan berhasrat untuk menuntut kembali hak milik mereka dan pada waktu sama kerajaan negeri Pulau Pinang mempertahan serta menolak tuntutan berkenaan.
Tuntutan sama tapi berlainan fakta juga berlaku ke atas isu air mentah antara kedua-dua negeri berkenaan. Namun, hingga kini tiada titik kesudahan selain pertikaian politik semata-mata.
Dalam soal tuntutan hak milik berkenaan, 1.8 juta penduduk Pulau Pinang mengharapkan satu jawapan tuntas dari sudut perundangan tentang keabsahan mengenai status sebenar kedudukan Pulau Mutiara itu.
Justeru, ketegasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam isu berkenaan patut dipandang serius serta positif atas dasar kewajaran wujudnya suatu dokumen perjanjian pajakan yang sahih.
Tidak perlu dipanjangkan sejarah isu berkenaan malah secara ringkasnya, terma perjanjian pajakan yang masih berkuat kuasa seumpama selagi wujud bulan dan bintang serta pengiktirafan perlembagaan Perkara 1(2) bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada negeri-negeri Persekutuan wajar diterjemahkan dari sudut perundangan yang jelas.
Persoalan rasional seperti kenapa wujud perjanjian pajakan berkenaan jika Pulau Pinang adalah sebuah negeri Persekutuan seperti mana termaktub dalam perlembagaan negara dan wujudkah klausa istimewa dalam perjanjian pajakan berkenaan bahawa Pulau Pinang diberikan status sebagai negeri Persekutuan daripada 13 negeri seperti termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan perlu mendapat keabsahan perundangan.
Jika inisiatif (mendapatkan pengisytiharan perintah mahkamah) diambil sebagai tindakan keutamaan maka ia perlu dilakukan segera.
Proses untuk mendapatkan dokumen berkaitan mungkin mengambil masa, namun ia lebih bermanfaat daripada hanya sekadar bertelingkah atas pentas politik yang tiada berkesudahan.
Di antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kedah atau Pulau Pinang wajar memulakan tindakan prosiding undang-undang demi kepentingan rakyat khususnya penduduk Pulau Pinang.
Rakyat Pulau Pinang serta generasi kami tidak rela dilabel sebagai individu yang kononnya bermastautin di sebuah negeri berstatus pajakan. Satu keputusan atau legal finding yang jelas wajar dinoktahkan.
Kesan daripada keputusan mahkamah kelak dikira mampu mengubah acuan tuntutan oleh kerajaan negeri Kedah sehingga memungkinkan Perlembagaan Persekutuan turut dipinda.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik