SAUDARA PENGARANG,
KES penderaan kanak-kanak meningkat dengan mendadak sejak akhir-akhir ini. Perkara ini amat membimbangkan kerana kebanyakan pendera adalah dalam kalangan orang yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa seperti ibu bapa, penjaga, datuk, jiran, bapa tiri dan sebagainya.
Penderaan terhadap kanak-kanak menunjukkan runtuhnya nilai kasih sayang dalam sesebuah institusi keluarga.
Faktor menyebabkan berlakunya kes penderaan adalah perbalahan berlaku antara ibu dan bapa yang membawa kepada krisis dan tekanan dalam rumah tangga. Hal ini menyebabkan mereka melepaskan segala kemarahan kepada anak-anak yang tidak bersalah.
Masalah ekonomi isi rumah juga salah satu faktor dalam kes penderaan di mana ibu bapa menganggap anak-anak ini merupakan beban kepada mereka.
Dalam pada itu, kurang penghayatan dalam agama turut menyumbang kepada peningkatan kes penderaan kanak-kanak.
Mereka yang mendera tidak mempunyai iman dan perasaan belas ihsan kepada kanak-kanak. Islam amat menitikberatkan ibu bapa dan penjaga menjaga dan mengasihi anak-anak kecil.
Sudah menjadi tugas kita sebagai orang dewasa dan penjaga untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dari segi emosi dan fizikal.
Ini kerana trauma penderaan sangat berat untuk ditanggung oleh anak-anak yang lemah ini. Ia akan meninggalkan kesan jangka masa panjang dalam hidup anak-anak ini.
Sebagai contoh, mereka yang didera mungkin menanggung kecacatan fizikal seumur hidup, mungkin juga bakal mengalami trauma sampai mati.
Mereka terpaksa menjalani hari-hari dengan mimpi dan bayangan ngeri tidak seperti anak-anak normal lain. Sudah tentu mereka merasai dunia ini sungguh tidak adil.
Sebagai seorang manusia, kita perlu berusaha untuk membantu mangsa-mangsa dera dengan cara melaporkan kepada pihak berkuasa.
Kerajaan dan pihak mahkamah juga harus memberi hukuman setimpal kepada mereka yang terlibat dalam kes dera ini dengan tidak mengenal status.
Lindungilah hak asasi kanak-kanak kerana mereka adalah pewaris negara yang bakal menerajui masa depan. – UTUSAN
ASFA FARIHA ABDULLAH, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)