SAUDARA PENGARANG,
GURU Penolong Kanan (GPK) merupakan ‘orang kanan’ di sesebuah sekolah. Bayangkan bagaimana sesebuah sekolah beroperasi tanpa GPK?
Malangnya elaun sebanyak RM60 yang diterima oleh GPK sekolah rendah amat tidak sesuai lagi pada masa ini memandangkan golongan ini terpaksa menghabiskan masa dan tenaga untuk membantu guru besar mentadbir sekolah.
Banyak dokumentasi yang perlu mereka siapkan sepanjang tahun. Banyak fail yang perlu mereka uruskan ketika ini untuk memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar.
Mereka juga terpaksa mengajar berbelas waktu seperti guru-guru lain. Mereka juga menggantikan guru besar menghadiri mesyuarat atau bercuti. Bagaimana pula sekiranya guru besar sekolah sentiasa tidak sihat berpanjangan?
Isu ini pernah dibangkitkan sebelum ini ketika era pentadbiran Datuk Dr. Radzi Jidin, namun sehingga hari ini masih tiada perubahan.
Dengan tanggungjawab besar yang perlu dipukul ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, adalah wajar sekiranya elaun GPK dinaikkan mengikut kadar dan situasi semasa.
Pada 20 Julai tahun lalu, dalam ruangan Forum di Utusan Malaysia, seorang pembaca yang juga merupakan guru mengakui tugas GPK semakin mencabar saban hari dan ramai dalam kalangan guru tidak berminat menjadi GPK kerana tanggungjawab yang berat dengan elaun tidak seberapa.
Malah, apabila dilantik sebagai GPK, mereka terpaksa berpindah ke sekolah lain yang mungkin lebih jauh dari rumah sebelum ini.
Maka adalah wajar Kementerian Pendidikan menaikkan elaun GPK dengan kadar segera. Semoga semakin ramai guru-guru bersemangat menjadi GPK dan menggantikan guru besar yang akan bersara.-UTUSAN
WAK PARJO
Pahang