SAUDARA PENGARANG,
PUSPAKOM Sdn. Bhd. (Puspakom) memperkenalkan program wakil pelanggan yang diluluskan (PAR) sebagai langkah untuk memperkukuhkan integriti dan mengekalkan tahap amalan tertinggi dalam semua urusan perniagaannya.
Langkah ini dilaksanakan agar semua operasi syarikat dapat dijalankan secara telus, profesional dan saksama selaras dengan peraturan dan undang-undang yang termaktub.
Lazimnya, ramai pelanggan Puspakom menggunakan khidmat runner atau orang tengah bagi urusan pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan.
Bagaimanapun, ada segolongan orang tengah memanipulasi, mengenakan caj perkhidmatan tinggi dan memberi maklumat palsu kepada pelanggan.
Pelanggan kemudiannya membuat aduan bahawa Puspakom tidak telus dan ini memberi persepsi buruk terhadap imej syarikat.
Bagi mengatasi isu-isu negatif dan amalan tidak beretika oleh sesetengah orang tengah ini, sistem PAR diperkenalkan.
Melalui sistem ini, Puspakom membuat saringan latar belakang semua runner dengan kerjasama pihak berkuasa. Mereka yang lulus saringan barulah didaftar sebagai PAR.
Program PAR adalah satu inisiatif bagi mewujudkan persekitaran positif dan situasi telus serta beretika bagi pihak-pihak yang berurusan di Puspakom.
Ia berteraskan integriti, prinsip ketelusan dan amanah serta mewujudkan keharmonian antara pelanggan, wakil pelanggan atau pembawa kenderaan dan Puspakom.
Bagaimanapun, Puspakom masih mengalu-alukan orang ramai untuk hadir sendiri ke pusat pemeriksaan Puspakom. Inisiatif ini tidak berniat untuk menafikan hak pelanggan untuk hadir sendiri.
Semua pelanggan yang ingin menggunakan khidmat orang tengah juga digalakkan mendapatkan khidmat PAR melalui senarai PAR di laman web Puspakom www.puspakom. com.my. – UTUSAN
PUSPAKOM SDN. BHD., Shah Alam, Selangor