SAUDARA PENGARANG,
ISU berkaitan subsidi bersasar khususnya pelaksanaan dan keberkesanannya semakin hangat dibincangkan sama ada di peringkat menteri, Dewan Rakyat, ahli perniagaan, warga akademik serta masyarakat awam.
Namun, persoalan utama, adakah peruntukan atau subsidi yang diberikan dinikmati golongan yang disasarkan (B40 dan M40) atau merangkumi juga golongan lain serta tiada ketirisan?
Kerajaan ketika ini dilihat sedang mengambil langkah yang betul dengan pengumuman penubuhan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Diharapkan sistem ini berupaya mengenal pasti golongan sasar seterusnya bantuan sewajarnya dapat disalurkan tepat kepada mereka.
Dicadangkan profil individu dapat diwujudkan secara menyeluruh menjangkau semua atau majoriti penduduk. Ini bagi membolehkan bantuan atau subsidi disalurkan terus kepada golongan disasarkan.
Berdasarkan profil individu ini juga, ia boleh dikembangkan kepada pemberian subsidi berkaitan tarif atau penggunaan elektrik, petrol RON 95 serta diesel. Bagi kes tarif elektrik, kita percaya perkara ini sedang dibuat kajian oleh Kementerian Sumber Tenaga Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menentukan kaedah dan juga kadar subsidi.
Isu atau pelaksanaan pemberian subsidi berkaitan petrol pula agak rumit dan tidak berkesudahan. Pelbagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan sebelum ini (penggunaan kad, subsidi berdasarkan kuasa kuda kenderaan dan sebagainya), namun semacam kurang berkesan kerana turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi. Justeru, diharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengisian petrol dan diesel secara dalam talian sepenuhnya. Dengan pembelian cara ini, data serta profil pengguna dapat digunakan untuk menentukan pemberian subsidi kepada golongan sewajarnya. Cadangan ini berkemungkinan akan mendapat sedikit bantahan pada awal pelaksanaannya, namun boleh dikuatkuasakan secara berperingkat sebagaimana dibuat terhadap pembayaran tol.
Seterusnya, saya juga cadangkan kerajaan menghapuskan wang kertas RM100 di pasaran dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak lagi mencetaknya. Cadangan ini selaras perkembangan teknologi dan pasaran digital yang mempromosikan transaksi secara maya serta transaksi tanpa tunai.
Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar rasuah atau ketirisan di pelbagai peringkat. Lazimnya, kegiatan rasuah melibatkan pemberian dan penerimaan secara tunai dan dilakukan secara fizikal. Sekiranya wang kertas RM100 ini dihapuskan, perasuah memerlukan sejumlah wang tunai yang banyak untuk meneruskan kegiatan gelap mereka.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR.AMANUDDIN SHAMSUDDIN
Universiti Tenaga Nasional (Uniten)