Pokok padi boleh stres akibat panas, kemarau - Utusan Malaysia

Pokok padi boleh stres akibat panas, kemarau

CUACA panas akan mengundang banyak penyakit padi dan meningkatkan ancaman haiwan perosak tanaman itu seperti karah, reput tangkai dan sebagainya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERTUMBUHAN rumpai merupakan antara ancaman dihadapi pesawah ketika musim panas yang sedang melanda negara sekarang.

Berdasarkan kebiasaan, pertumbuhan rumpai lebih cepat semasa awal penanaman pokok padi dan semakin banyak jika ia diserang penyakit akibat masalah kekeringan air di dalam sawah berikutan musim panas.

Cuaca panas akan mengundang banyak penyakit padi dan meningkatkan ancaman haiwan perosak tanaman itu seperti karah, reput tangkai dan sebagainya.

Ini kerana perubahan suhu akibat musim panas akan mencetuskan keadaan yang sesuai untuk penyakit atau haiwan perosak membiak dan tersebar.

Apabila kekurangan air, ketahanan pokok padi menjadi rendah dan mudah untuk penyakit dan perosak menyerang. Pokok padi juga sensitif kepada stres akibat ketiadaan air ketika musim panas dan kemarau.

Dalam pada itu, sumber air yang semakin terhad menjejaskan produktiviti hasil padi terutama di jelapang padi yang terdedah kepada kemarau seperti di kawasan diuruskan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Kelantan.

Jumlah hujan di kawasan terbabit adalah kurang 200 milimeter (mm) sebulan. Pada awal Mei lalu, media massa melaporkan Kada merekodkan kerugian lebih RM2.7 juta apabila hampir 30 peratus hasil padi di Kelantan merosot akibat kemarau.

Penanaman padi di Semenanjung mempunyai dua musim, iaitu musim utama antara Ogos hingga Februari dan luar musim antara Mac hingga Julai.

Pada musim utama, tanaman padi mendapat air mencukupi berbanding luar musim yang berlaku kekurangan air atau kemarau sehingga menjejaskan sekuriti makanan negara.

Sebagai persiapan menghadapi musim panas yang semakin teruk akibat fenomena El Nino, kerajaan perlu membantu pesawah dengan menyediakan kemudahan pengairan yang cekap.

Kerajaan perlu membantu para pesawah dengan menyediakan sumber air bawah tanah di beberapa tempat yang penting dan mendapatkan air dari sumber alternatif lain dengan menggalakkan kajian lebih terperinci berhubung perkara itu.

Sesi perbincangan serta tindakan bersama pesawah dan agensi terlibat perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan tanaman padi secara muafakat.

Pesawah boleh mendapatkan air mencukupi dengan membina kolam tadahan, takungan, sumber air bawah tanah dan sistem pam air yang sesuai.

Penambahan baja muriate of potash (MOP) atau potassium boleh dijadikan sebagai bahan untuk mengurangkan kesan kemarau pada pokok padi.

Seterusnya, pemilihan benih padi yang sesuai dan cepat matang atau singkat seperti 100 hari berbanding 120 hari kebiasaannya boleh digunakan agar pokok padi dapat melepasi peringkat pembiakan setelah tiada air seperti benih padi MR220CL2.

Penggunaan teknologi terkini pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk pengurusan tanaman padi dapat membantu pesawah membuat keputusan tepat bagi menyelesaikan isu atau masalah berkaitan padi.

Tanaman padi perlu diberi keutamaan sebagai sekuriti makanan kerana kecukupan bekalan beras yang dihasilkan dalam negara masih tidak mencukupi, iaitu sekitar 72 peratus.

Beras berkualiti adalah hasil daripada pokok padi yang ditanam secara sistematik di kawasan tanah berkualiti dengan pengurusan efisien daripada agensi berkaitan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca. – UTUSAN

DR. ZULKARAMI BERAHIM, Institut Pertanian Tropika & Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya