Pilihlah mana-mana parti pun - Utusan Malaysia

Pilihlah mana-mana parti pun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT beberapa parti politik yang mewakili orang Melayu sekarang seperti Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan macam-macam lagi.

Begitu juga pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Setiap parti politik dan NGO ini membawa pelbagai ideologi dan agenda perjuangan. Mereka juga mempunyai pengikut dan penyokong yang agak ramai.

Secara positifnya, keadaan ini memberi orang Melayu pilihan untuk memilih kumpulan mana mereka hendak ikut atau sokong berdasarkan agenda perjuangan yang menurut kefahaman mereka adalah yang terbaik. Dari sudut sebaliknya, kelihatan orang Melayu telah berpecah menjadi banyak kumpulan kecil.

Salah satu sebab mereka berpecah kerana kecewa dengan pemimpin Melayu terdahulu yang menjadikan korupsi dan penyalahgunaan kuasa sebagai amalan. Maka orang Melayu mula mencari alternatif.

Tidak mengapa untuk orang Melayu memilih menyertai mana-mana kumpulan yang dirasakan serasi dengan agenda perjuangan mereka.

Walau apa juga kumpulan dan ideologi perjuangan yang mereka sertai, semuanya berkisar tentang memperbaiki ekonomi orang Melayu, mempertingkat pendidikan anak-anak Melayu dan mempertahan kesucian agama Islam.

Dalam pada itu, berbanding zaman awal kemerdekaan Tanah Melayu dahulu di mana jati diri Melayu amat kental. Hari ini, disebabkan keselesaan hidup dan sikap keterbukaan, ia secara tidak disedari telah menghakis jati diri Melayu sedikit demi sedikit.

Sikap keterbukaan adalah sesuatu yang positif dan di zaman ini semua orang harus memilikinya. Namun, pada masa sama, berwaspadalah dan beringat agar jangan sampai jati diri Melayu menjadi luntur.

Setiap orang Melayu mahu memperjuangkan nasib bangsa ini dan sanggup berkorban untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Tetapi jika kita berada di dalam kumpulan berasingan dengan keadaan jati diri yang beransur-ansur rapuh serta kuasa semakin terlucut, segala laungan perjuangan kita akan menjadi sia-sia. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya