Perjalanan seorang pejuang pesakit hemofilia

Perjalanan seorang pejuang pesakit hemofilia

MARILAH menyokong perjalanan berterusannya membina masa hadapan yang lebih cerah dan inklusif bagi pesakit hemofilia. -GAMBAR HIASAN/FB PERSATUAN HEMOPHILIA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik untuk berkongsi kisah menyentuh hati tentang Farid Kamil (bukan nama sebenar), seorang penuntut di sebuah universiti awam di Pantai Timur tanah air. Saya anggap sangat luar biasa sifat ketabahan dan kecekalannya.

Perjalanan inspirasi Farid, pesakit hemofilia menunjukkan sikap seorang rakyat Malaysia yang peka terhadap kesedaran punca penyakit itu dan langkah-langkah penjagaan yang perlu dititik berat oleh penghidapnya.

Justeru, ketabahan dan semangat juang serta inisiatifnya berupaya untuk memberikan impak yang positif kepada masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan tentang penyakit hemofilia.

Sebagai penghidap hemofilia, Farid berhadapan cabaran harian yang sukar difahami umum. Apatah lagi jika penyakit ini pun jarang didengari atau dihidapi.

Farid mempunyai keterbatasan fizikal dan khuatir pendarahan yang tidak terkawal, namun dia tetap tidak pernah luntur dalam komitmennya untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan kepada individu lain yang menghidap hemofilia.

Selain masalah peribadi, Farid juga menghadapi tekanan emosi setelah gagal mempertahankan hubungan yang tidak sihat selama tiga tahun. Namun, belas kasihan dan keinginannya untuk membantu orang lain tidak pernah luntur kerana dia terus menjadi sumber kekuatan dan semangat untuk rakan-rakan dan kenalan yang berada di sekelilingnya.

Farid mengabdikan masa, tenaga dan sumber untuk Persatuan Hemofilia Malaysia (PHM), memainkan peranan penting untuk mengumpul dana, menyebar kesedaran dan memberi pendidikan mengenai penyakit yang jarang berlaku ini. Sebagai seorang pesakit dia mengakui membina komuniti sokongan bagi individu yang terjejas oleh hemofilia adalah penting.

Perjalanan Farid memberikan kita inspirasi untuk bersama-sama mencipta persekitaran yang mendorong pertumbuhan peribadi dan memberi dorongan kepada individu menghadapi cabaran dengan menyediakan sokongan kesihatan mental diperlukan, menggalak minatnya dalam pengajian filem dan memperkuatkan inisiatif penyampaian mesejnya melalui PHM. Kita dapat membantu Farid menjalani kehidupan lebih baik dalam kerangka ini.

Ketabahan dan komitmen Farid memberikan peringatan kuat bahawa setiap individu mempunyai keupayaan untuk membuat perubahan tanpa mengira umur atau masalah dan cabaran peribadi.

Marilah kita menyambut semangat yang tidak goyah seperti Farid, memberi penghargaan kepada usaha tidak kenal erti lelah dalam meningkat kesedaran mengenai hemofilia selanjutnya bersatu untuk menyokong perjalanan berterusannya membina masa hadapan lebih cerah dan inklusif.-UTUSAN

DANNY AZIM
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya