SAUDARA PENGARANG,
SELURUH negara baru-baru ini dikejutkan dengan video tular seorang lelaki bertindak memukul kepala pemandu wanita yang berlaku di Tapah, Perak.
Kejadian didakwa berpunca daripada tindakan pemandu wanita terbabit memotong kenderaan lain secara berbahaya semasa melalui selekoh yang dilarang memotong.
Kejadian ini mendedahkan masih ada pemandu yang bersikap ambil mudah terhadap aspek peraturan keselamatan jalan raya terutama dalam kalangan pemandu muda. Peraturan keselamatan jalan raya yang diajar ketika belajar memandu diabaikan.
Pengguna jalan raya perlu bersifat bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri. Banyak tindakan yang dianggap remeh boleh menyebabkan kemalangan.
Contohnya, tidak memasang signal ketika ingin menukar lorong, memandu melebihi had kelajuan ditetapkan dan melanggar lampu isyarat merah.
Bak kata pepatah, biar lambat asal selamat. Nyawa pemandu dan penumpang menjadi keutamaan, bukanlah destinasi yang ingin dituju.
Kita seharusnya mengamalkan langkah-langkah yang telah diajar ketika belajar di sekolah memandu untuk dipraktikkan ketika di atas jalan raya. Langkah ini penting kerana ia dapat menyelamatkan nyawa individu ketika di atas jalan raya.
Lebih membimbangkan lagi, statistik kemalangan jalan raya di Malaysia meningkat setiap tahun. Banyak kematian yang terjadi disebabkan kecuaian ketika memandu di jalan raya.
Menurut statistik, setiap 90 minit berlaku kematian akibat kemalangan jalan raya. Kejadian ini perlu diambil cakna oleh semua pihak terutama pengguna jalan raya.
Masalah ini perlu dibendung dengan mengetatkan undang-undang jalan raya termasuk mengenakan kadar kompaun lebih tinggi supaya pemandu berhemah ketika memandu di jalan raya.
Di samping itu, kita sebagai rakyat perlu saling mengingatkan antara satu sama lain supaya mematuhi peraturan jalan raya. Teguran yang dibuat perlulah dilakukan secara berhemah. – UTUSAN
NUR FATIN SYAHIDA MD. FADLI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)