Pastikan simpan sedikit gaji untuk kecemasan

Pastikan simpan sedikit gaji untuk kecemasan

PENTING bagi mereka yang baru bekerja untuk merancang kewangan dalam berbelanja agar tidak terbeban pada masa akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA zaman moden yang penuh dengan cabaran, merancang kewangan peribadi adalah langkah penting bagi seseorang yang baru memulakan pekerjaan. Merancang kewangan dengan bijak adalah kunci untuk mencapai kestabilan dan matlamat kehidupan untuk jangka panjang. Saya ingin berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil untuk merancang kewangan dengan cekap.

Pertama sekali, seseorang baru memulakan pekerjaan harus menetapkan matlamat kewangan yang jelas. Matlamat ini boleh merangkumi membeli rumah, menyimpan untuk pendidikan atau menabung bagi persediaan persaraan.

Dengan matlamat yang jelas, seseorang dapat mengatur perbelanjaan dan simpanan dengan lebih terarah.

Selain itu, penting untuk membuat anggaran bulanan secara terperinci. Dalam anggaran ini, seseorang perlu mengenal pasti kos tetap seperti sewa, utiliti dan bayaran pinjaman serta perbelanjaan fleksibel termasuk makanan, hiburan mahupun pakaian.

Jika seseorang mempunyai hutang, penting untuk membayar dengan cekap sama ada menjelaskan pinjaman dengan kadar faedah tertinggi terlebih dahulu atau membincangkan penjadualan semula bayaran dengan pihak bank.

Selanjutnya, seseorang perlu membina simpanan kecemasan. Sasaran tabung kecemasan adalah memiliki simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tiga hingga enam bulan. Dengan adanya simpanan kecemasan, seseorang dapat menghadapi krisis tanpa mengalami kesukaran kewangan yang teruk.

Pelaburan juga merupakan aspek penting dalam merancang kewangan. Seseorang perlu mempelajari pelaburan dan memilih jenis pelaburan yang sesuai dengan profil risiko dan matlamat kewangan.

Perlindungan insurans dan takaful juga harus diambil kira dalam merancang kewangan yang dapat membantu melindungi seseorang daripada beban kewangan yang besar jika terjadi risiko atau kejadian tidak terduga.

Selain itu, terus meningkatkan pengetahuan kewangan juga merupakan langkah penting. Seseorang harus meluangkan masa untuk membaca buku, menghadiri seminar atau mengikuti kursus berkaitan dengan pengurusan kewangan.

Semakin banyak pengetahuan dimiliki, semakin baik seseorang dapat membuat keputusan kewangan dengan bijak dan memanfaatkan peluang yang ada.-UTUSAN

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya