SAUDARA PENGARANG,
SEMENJAK pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dari kadar 2.75 peratus kepada tiga peratus telah mendapat perhatian ramai pihak dan tidak kurang juga yang melemparkan pelbagai tuduhan. Ahli-ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat ni juga tidak terlepas dari membangkitkan isu kenaikan OPR.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan terpaksa sekali lagi menjawab serta menghuraikan asas kepada keputusan kenaikan ini sebagaimana yang dilaporkan media.
Apa yang menarik perhatian apabila Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengatakan kenaikan OPR ini hanya menguntungkan pihak bank sahaja. Sebagai sebahagian dari Kerajaan Perpaduan, kenyataan seumpama ini mungkin dilihat dari pelbagai sudut oleh masyarakat. Kemungkinan tiada perbincangan di peringkat kerajaan atau untuk meraih populariti dalam kalangan masyarakat atau mungkin juga diatur sedemikian rupa untuk membolehkan penjelasan diberikan oleh Menteri Kewangan.
Jika kenyataan seumpama itu datangnya dari pihak pembangkang, ia sesuatu yang boleh dijangkakan. Walau bagaimanapun, apa jua hasrat atau tujuan sebenar dari Ahli Parlimen Bagan tersebut, isu OPR ini dijangka akan terus dipolemikkan menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) yang dijangka akan diadakan tidak berapa lama lagi.
Selain dari isu itu, dijangkakan ada isu-isu lain yang akan menjadi ‘bahan kempen’ antaranya cadangan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan dari 13 kepada 20 peratus, fasiliti atau kemudahan pengeluaran wang KWSP, penarikan balik rayuan penggunaan kalimah Allah, kebenaran penganjuran konsert Coldplay, isu gaji minima, air di Kelantan, penambakan tanah di Pulau Pinang, hatta kemerosotan pungutan pingat oleh kontinjen Malaysia di Temasya Sukan SEA 2023.
Besar kemungkinan penjelasan yang diberikan mengikut neraca atau sisi pandang penceramah dan dari mana pertaliannya sama ada pro kerajaan atau sebaliknya. Apapun saya percaya para pengundi sudah semakin bijak dan matang untuk menilai sesuatu isu serta maklumat yang disampaikan dengan adanya pelbagai saluran media yang dapat dirujuk, khususnya oleh pengundi-pengundi muda.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AMANUDDIN SHAMSUDDIN
Dekan UNITEN Business School (UBS)