Mohon baik pulih menara jam rosak - Utusan Malaysia

Mohon baik pulih menara jam rosak

MENARA jam di taman rekreasi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Selangor yang sudah bertahun-tahun lamanya tidak berfungsi. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menggesa pihak yang bertanggungjawab menyelenggara kemudahan taman rekreasi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) agar membaik pulih segera menara jam di situ yang sudah bertahun-tahun tidak berfungsi.

Menara jam ini terletak di belakang kantin MSSAAS yang juga dikenali sebagai masjid negeri. Tempat rekreasi ini popular dengan orang ramai yang datang untuk beriadah.

Nampak tidak elok bagi kawasan menara jam ini termasuk struktur menara dalam keadaan yang tampak terbiar. Saya sendiri pernah mengunjungi kawasan tersebut pada 2018 dan beberapa kali selepas itu.

Aduan juga telah dibuat kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor (SISPAA) pada 3 Ogos 2019.

Namun, tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak berkuasa, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Tanpa berputus asa, saya membuat aduan kali kedua kepada SISPAA pada 23 Mei 2022, iaitu selepas pandemik Covid-19 agak reda sedikit.

Pun begitu, tiada juga tindakan diambil. Saya terus membuat aduan kali ketiga kepada SISPAA pada 22 Disember 2022, juga dengan menamakan JAIS sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan aduan ini. Selain itu, saya juga menghantar e-mel kepada pihak MSSAAS pada 21 Januari 2023.

Pada 23 Februari 2023, saya menerima jawapan balas daripada Seksyen Komunikasi Korporat JAIS yang memaklumkan perkara berkenaan telah dibawa ke Mesyuarat Lembaga Tadbir MSSAAS dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk tindakan mereka selanjutnya.

Saya telah merakam gambar terbaharu pada 12 Jun 2023. Namun sehingga surat ini ditulis, masih tiada juga kerja-kerja pembaikan dijalankan di kawasan menara jam tersebut.

Moga dengan maklum balas ini, diharapkan pihak JKR Selangor dapat mengambil tindakan dengan kadar segera. – UTUSAN

HAJI KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya