SAUDARA PENGARANG,
MAHATMA Gandhi pernah berkata kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Beliau juga berkata kebersihan lebih penting daripada kemerdekaan.
Semasa tinggal di Barat, walaupun Gandhi ‘mengejek’ banyak adat negara-negara berkenaan, namun tetap kagum dengan tahap sanitasi yang diikuti oleh penduduk tempatan.
Justeru saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar anak-anak dididik untuk mencuci tandas di sekolah dapat memupuk tabiat yang baik. Lagipun ia bukanlah perkara yang kotor.
Malah, ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat secara keseluruhan dapat memainkan peranan yang sama penting dalam membangunkan sahsiah anak-anak muda.
Adalah baik untuk sekolah memberikan pelajar tugasan sedemikian kerana hanya sedikit yang akan melakukannya di rumah ekoran ibu bapa mahu mereka memberi tumpuan kepada kerja kursus sahaja.
Di negara Barat, kebanyakan sekolah mengupah pembersih dan kakitangan penyelenggaraan untuk menjaga kebersihan tetapi di Jepun, kanak-kanak melakukannya.
Ia bukan sahaja memastikan sekolah di Jepun bersih tetapi mengajar kanak-kanak untuk bertanggungjawab sehingga sikap positif itu dibawa ke alam dewasa.
Sementara di Malaysia, pelajar mesti menghabiskan kira-kira 15 minit pada penghujung hari untuk membersihkan tandas. Ini akan mengajar pelajar membersihkan sekolah serta menghargai kebersihan dalam semua bidang kehidupan.
Umumnya. persekitaran yang bersih adalah tanda minda yang fokus. Ini akan membolehkan pelajar lebih proaktif. Dalam masa sama mereka belajar untuk bekerjasama, mengagihkan tugas dan menghormati persekitaran.-UTUSAN
N.V.SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Kanan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang