Malaysia perlu ubah struktur ekonomi - Utusan Malaysia

Malaysia perlu ubah struktur ekonomi

MALAYSIA sudah kembali berada dalam radar pelabur asing setelah kestabilan politik dikembalikan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 dan pembentukan kerajaan perpaduan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan perpaduan kerana Malaysia berada di kedudukan ke-27 dalam ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2023, naik lima tangga dari kedudukan ke-32 pada 2022.

Ini adalah peningkatan memberangsangkan setelah beberapa tahun kedudukan negara mencatatkan penurunan. Kedudukan terbaik Malaysia adalah pada tangga ke-10 (2010) dan pada 2018 berada di kedudukan ke-22.

Ketika era pandemik Covid-19, daya saing ekonomi negara turun tujuh anak tangga dari kedudukan ke-25 (2021) kepada ke-32 pada 2022. Ranking terbaharu itu menunjukkan, Malaysia adalah ekonomi kedua paling berdaya saing di ASEAN selepas Singapura, diikuti Thailand (30), Indonesia (34) dan Filipina (52).

Menurut Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, penilaian bagi ranking tahunan itu berdasarkan kepada empat sektor, iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Melalui laporan itu, Malaysia menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa bidang utama, iaitu dari segi harga di bawah sektor prestasi ekonomi, dasar percukaian di bawah sektor kecekapan kerajaan serta infrastruktur asas dan teknologi di bawah sektor infrastruktur.

Ini jelas menunjukkan negara berada pada landasan ekonomi yang tepat dan usaha-usaha dilakukan oleh kerajaan terutama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuahkan hasil dalam memperbaiki prestasi ekonomi negara.

Tahniah diucapkan kepada MITI yang merupakan ‘jurucakap’ ekonomi negara di peringkat antarabangsa. Peningkatan daya saing Malaysia turut diterjemah menerusi peningkatan pelaburan dalam ekonomi negara.

Pada suku pertama tahun ini, MITI berjaya menerima RM71.4 bilion pelaburan yang diluluskan. Ini adalah 60 peratus lebih tinggi berbanding suku pertama 2022.

Pelabur-pelabur asing bertaraf dunia seperti pemacu industri kenderaan elektrik, Tesla juga sudah sah akan masuk ke pasaran Malaysia dan lihat sahajalah kepada bilangan rakyat negara ini yang cuba merebut peluang pekerjaan dengan syarikat itu.

Semua indikator ini menunjukkan Malaysia sudah kembali berada dalam radar pelabur-pelabur asing setelah kestabilan politik dikembalikan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 dan pembentukan kerajaan perpaduan.

Namun demikian, pihak-pihak seperti MITI harus terus berusaha keras untuk memastikan prospek pelaburan yang dijanjikan direalisasikan.

Pada masa sama, menurut laporan IMD, terdapat beberapa bidang yang kurang menyerlah di Malaysia seperti perundangan perniagaan dan rangka kerja kemasyarakatan di bawah sektor kecekapan kerajaan serta produktiviti dan kecekapan di bawah sektor kecekapan perniagaan.

Laporan itu menambah, cabaran yang dihadapi negara pada 2023 adalah untuk memperkukuhkan pembangunan bakat melalui model pasaran buruh didorong permintaan bagi memastikan tenaga kerja tersedia untuk industri.

Selain itu, cabaran lain adalah mengubah pemikiran dalam mengutamakan digital dan meningkatkan teknologi digital merentasi pelbagai sektor.

Malah, peningkatan produktiviti dan daya saing melalui pembaharuan kawal selia untuk kemudahan menjalankan perniagaan di peringkat nasional dan subnasional turut menjadi cabaran selain meningkatkan pembangunan lestari alam sekitar untuk kualiti hidup yang lebih baik.

Oleh itu, Malaysia perlu lebih agresif mengubah struktur ekonomi untuk terus berdaya saing. Kerajaan juga perlu memastikan hala tuju ekonomi negara jelas supaya keyakinan pelabur dapat terus ditingkatkan. – UTUSAN

DR. HJ. AHMAD MUSTAFFA, Bangi, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya