Langgar peraturan trafik sebab polis kurang ronda - Utusan Malaysia

Langgar peraturan trafik sebab polis kurang ronda

DENGAN kehadiran polis secara lebih kerap, pemandu yang gemar melanggar peraturan jalan raya akan terdorong untuk mematuhi undang-undang lalu lintas. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas tentang laporan berita baru-baru ini mengenai tindakan polis menyaman sekumpulan pemandu kereta mewah yang menghadang jalan di atas jambatan kedua Pulau Pinang.

Halangan yang dilakukan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah mengganggu kelancaran lalu lintas dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Tindakan polis menyaman kumpulan pemandu kereta mewah itu adalah tepat.

Tindakan dibuat mengikut lunas undang-undang itu mampu menjadikan ia satu pengajaran kepada pihak terbabit dan menunjukkan polis tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Polis juga perlu meningkatkan rondaan dan pengawasan di kawasan-kawasan yang sering dilaporkan berlaku kesesakan lalu lintas.

Dengan kehadiran polis secara lebih kerap, pemandu yang gemar melanggar peraturan jalan raya akan terdorong untuk mematuhi undang-undang lalu lintas.

Pihak berkuasa juga perlu meningkatkan sistem pemantauan seperti menambah kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu mengenal pasti pelaku yang melanggar undang-undang lalu lintas.

CCTV perlulah dipasang di kawasan-kawasan strategik seperti jambatan, persimpangan dan jalan raya yang sibuk.

Mungkin juga pihak berkuasa boleh membangunkan aplikasi yang membolehkan para pengguna jalan raya melaporkan kesalahan lalu lintas secara rahsia tanpa perlu memberikan nama pengadu.

Dengan memberikan akses yang mudah kepada pengguna untuk membuat aduan, secara tidak langsung boleh memudahkan pihak berkuasa menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

Untuk mencapai hasil maksimum, penguat kuasa perlu konsisten dan adil dalam membanteras pengguna yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Sesiapa sahaja yang melanggar peraturan jalan raya tanpa mengira darjat dan latar belakang perlu dikenakan tindakan.

Melalui langkah-langkah yang dicadangkan, diharapkan ia dapat meningkatkan kesedaran dan kepatuhan masyarakat terhadap peraturan lalu lintas yang ditetapkan. – UTUSAN

MUHAMMAD AMIRUL YAHAYA, Nilai, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya