Kos petani meningkat akibat panas melampau - Utusan Malaysia

Kos petani meningkat akibat panas melampau

BENDI adalah antara tanaman yang sesuai ditanam semasa cuaca panas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FENOMENA El Nino yang sedang berlaku sekarang telah menjejaskan pertumbuhan tanaman terutama sayur-sayuran dan pokok herba. Ada tanaman sudah mula menggugurkan daun-daunnya bagi mengurangkan kadar kehilangan air.

Ada juga yang memperlahankan pertumbuhan dengan menggulungkan daun dan daun baharu dikeluarkan bersaiz lebih kecil berbanding sebelum cuaca panas.

Lebih teruk, ada juga menjadi lemah, seterusnya sistem ketahanan tanaman tidak mampu untuk melawan penyakit yang datang.

Kemungkinan besar sekiranya keadaan semakin tidak terkawal, petani perlu menyembur racun dengan lebih kerap berbanding sebelum ini.

Hal-hal seperti ini akan meningkatkan kos pengeluaran tanaman, lebih-lebih lagi hasil tanaman berkurangan semasa musim panas. Ini sudah semestinya akan meningkatkan harga hasil pertanian di pasaran.

Oleh itu, bagi membantu tanaman ini, petani hendaklah memberikan air yang lebih semasa melakukan penyiraman dan memberikan baja daun atau penggalak untuk memperkuatkan mekanisme pertahanan dalam tanaman ini.

Bagi mengurangkan kehilangan air dan membantu tanah supaya lebih lama lembab, sungkupan perlulah diletakkan di sekeliling tanaman tersebut.

Sungkupan seperti sabut kelapa, daun kering, habuk kayu atau plastik penutup batas boleh digunakan bagi tujuan ini.

Dalam pada itu, antara tanaman yang sesuai semasa cuaca panas adalah bendi, terung, timun, kubis kerinting dan cili benggala. Bagi cili kegunaan harian yang biasa seperti cili kulai dan cili padi, ia adalah tidak lasak dan tidak mempunyai ketahanan kuat.

Oleh itu, penjagaan lebih rapi perlu diberikan kepada cili kulai dan cili padi terutama pada musim panas ini. Hal demikian kerana perosak tumbuhan sangat aktif ketika musim panas.

Bagi tanaman di bawah tanah pula, keledek dan ubi bit merah adalah sesuai ditanam pada musim panas tetapi perlu diberikan air secukupnya. – UTUSAN

DR. JUJU NAKASHA JAAFAR, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya