SAUDARA PENGARANG,
PERGOLAKAN politik dan isu keamanan di rantau Asia Barat sentiasa mendapat tempat dalam perbahasan hubungan antarabangsa. Ia menjadi tumpuan utama bukan sahaja dunia Islam sendiri, bahkan kuasa- kuasa besar.
Sebagai saudara sesama Islam, kita sewajarnya lebih peka dengan faktor yang mendorong isu-isu melibatkan keamanan, keselamatan dan nyawa rakyat yang menetap di Palestin terus terancam.
Ketegangan yang terus meningkat ini memerlukan bantuan dan campur tangan umat Islam dan bangsa-bangsa lain. Oleh demikian, perlu ditegaskan bahawa sifat perikemanusiaan tanpa mengira umur, kedudukan, pangkat, keturunan dan sebagainya penting dalam memberi bantuan mahupun sokongan terhadap rakyat negara itu.
Justeru, kita perlu mencari inisiatif bagi menyuntik sifat kemanusiaan terhadap umat Islam di seluruh dunia. Matlamatnya ialah agar semua umat Islam dapat membina jati diri serta memperkuatkan semangat bagi membantu serta membela saudara seagama kita.
Misalnya, kewujudan rangkaian media sosial membuka mata masyarakat. Hal demikian ini kerana kewujudan media sosial jugalah menyebabkan rakyat berbeza agama dan latar belakang dapat bersuara dan bersatu padu menyokong hak asasi yang sepatutnya diberikan kepada mereka.
Jelaslah nilai kemanusiaan amat penting dan sangat diperlukan bagi membela serta mempertahankan hak dan kehidupan rakyat di Palestin. Keganasan Zionis perlu dipatahkan dengan mengaktifkan penglibatan majoriti umat Islam khususnya dalam aspek kemanusiaan terhadap negara itu. Bantuan yang diberikan ini bukanlah sekadar atas dasar agama sahaja, namun berteraskan kepada isu kemanusiaan yang mana keadilan adalah untuk semua manusia di dunia.-UTUSAN
NURUL ATIQAH ILYANI MOHAMAD TAN & PROFESOR DR. MOHD ROSLAN MOHD. NOR
Univerisiti Malaya