Kenali ‘warna otak’ penjawat awam untuk dinilai - Utusan Malaysia

Kenali ‘warna otak’ penjawat awam untuk dinilai

SESI temu duga boleh digunakan bagi melihat bahasa badan penjawat awam yang akan menzahirkan personaliti mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM era perkembangan sektor awam yang semakin kompleks, seorang penilai profesional memainkan peranan penting dalam menilai kemampuan, potensi dan prestasi seseorang kakitangan.

Tanggungjawab utama penilai profesional adalah memastikan penilaian dilakukan secara objektif, adil dan berdasarkan kompetensi yang relevan.

Dalam melaksanakan tugas ini, seorang penilai profesional perlu memiliki pengetahuan mendalam tentang kaedah penilaian, pemahaman kerangka kompetensi dan kemampuan dalam menggunakan instrumen penilaian yang sesuai.

Dengan memahami proses-proses ini, penilai profesional dapat memberikan pandangan yang tepat tentang potensi individu dalam konteks pengurusan bakat sektor awam.

Menjadi seorang penilai profesional tidak hanya memerlukan pengetahuan luas tetapi juga sifat-sifat khusus. Kejujuran, ketelitian dan keadilan adalah nilai-nilai yang harus diterapkan oleh seorang penilai.

Mereka harus memastikan setiap kakitangan dinilai berdasarkan kriteria dan kompetensi yang relevan, bukan dipengaruhi oleh prasangka atau kepentingan peribadi.

Sebagai seorang penilai, menjaga kerahsiaan dan etika dalam penilaian adalah penting. Kepercayaan individu yang dinilai harus dijaga dengan dihormati dan perincian penilaian harus digunakan secara bertanggungjawab.

Menjadi seorang penilai profesional bukanlah tujuan akhir tetapi merupakan proses pembelajaran berterusan.

Inisiatif Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) menawarkan program persijilan khas melalui Kursus Penilaian Kendiri Berdasarkan Peristiwa (BESA) adalah salah satu usaha memperkasakan penilaian bakat cemerlang sektor awam.

Langkah proaktif ini dimulakan sejak beberapa tahun lalu melibatkan kumpulan pentadbir profesional dan pentadbir akademik universiti awam.

Mereka adalah pengamal sumber manusia profesional yang terlibat dalam menilai kakitangan di institusi masing-masing.

Untuk menjadi penilai profesional yang kompeten, terdapat beberapa kemahiran perlu dikuasai sebagai nilai tambah. Antaranya, memahami bahasa badan kakitangan dalam sesi temu bual atau temu duga.

Dengan pemahaman baik tentang bahasa badan, penilai dapat membuat penilaian terhadap perasaan dan emosi yang terpancar melalui gerak tubuh kakitangan.

Ini dapat membantu memberikan gambaran lebih mendalam tentang individu yang dinilai. Penilai profesional juga boleh menguasai kemahiran mentaksir personaliti calon bakat menggunakan pendekatan merpati, burung hantu, merak dan helang (DOPE).

Pendekatan ini membolehkan penilai mengidentifikasi ciri-ciri personaliti kakitangan berdasarkan corak tingkah laku dan gaya komunikasi mereka.

Dengan memahami personaliti ini, penilai profesional dapat memberikan panduan dan cadangan yang lebih baik dalam pengurusan dan penempatan di sektor awam.

Selain itu, penerapan pendekatan ‘otak berwarna’ adalah sesuatu yang boleh diaplikasikan. Pendekatan ini melibatkan pemahaman tentang perbezaan dalam cara individu memproses maklumat dan membuat keputusan.

Terdapat empat warna otak yang dikenal pasti dalam pendekatan ini – hijau, merah, biru dan ungu. Dengan memahami kecenderungan berfikir individu berdasarkan warna otak mereka, penilai dapat menyusun strategi pembangunan bakat yang lebih efektif.

Dalam konteks pengurusan bakat sektor awam, peranan penilai profesional sangat penting untuk memastikan pemilihan bakat yang kompeten dan berkualiti di sektor awam.

Dengan demikian, menjadi seorang penilai profesional dalam pengurusan bakat sektor awam adalah satu jihad harus bermula dengan sikap yang betul dan rasa kebertanggungjawaban. – UTUSAN

MOHD. RAFIZI RAHMAD, Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya