SAUDARA PENGARANG,
PROJEK Belia Peladang Batu Karang, Kampar, Perak begitu gah pada era 1980-an. Projek ini merupakan penanda aras global kejayaan pertubuhan belia menggiatkan aktiviti ekonomi rakyat di daerah itu.
Suatu ketika dahulu, pertubuhan belia ini sering menerima pelawat domestik dan antarabangsa untuk mempelajari kegiatan menternak ikan kap rumput dan udang galah secara komersial sehingga menjadi hab dan model pembangunan pertubuhan belia jaya.
Kolam ternakan mendapat sumber bekalan air semula jadi dari Gunung Bujang Melaka. Projek ini terletak empat kilometer dari Kampar.
Idea pembangunan projek ini daripada Ketua Kampung Jeram waktu itu, Allahyarham Abdul Rani Abu Kassim.
Ekonomi rakyat waktu itu berasaskan pertanian selepas lombong bijih mula ditutup di Lembah Kinta. Inisiatif oleh pertubuhan belia dengan sokongan kerajaan adalah membuka Restoran Belia Peladang sebagai hab masyarakat selain ternakan kambing.
Ekonomi lain termasuk penternakan kerbau, lembu, tanaman limau nipis, limau kasturi, menternak ikan air tawar di kolam-kolam bekas lombong yang ditinggalkan oleh pelombong bijih timah.
Namun, lama-kelamaan kolam-kolam ternakan terbiar sejak 2000 kerana ketiadaan golongan belia untuk mengusahakannya. Kebanyakannya sudah tua dan meninggal dunia.
Turut terbiar ketika ini adalah tandas awam dan wakaf tempat rekreasi yang dibina Majlis Daerah Kampar. Taman rekreasi itu rosak dan mencacatkan pandangan umum.
Saya mencadangkan Jabatan Perikanan, Majlis Daerah Kampar, Pejabat Tanah Daerah, Kementerian Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya dapat meneliti serta mengambil tindakan baik pulih kemudahan asas untuk manfaat masyarakat tempatan dan dalam masa sama dapat melaksanakan usaha kerajaan menjamin sekuriti bekalan makanan khususnya ikan air tawar dan udang galah.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Kampar, Perak