Kahwin ikut nafsu punca konflik rumah tangga

Kahwin ikut nafsu punca konflik rumah tangga

SATU kajian dilakukan sebelum ini mendedahkan jumlah kes perceraian pada 2020 adalah 45,754 manakala sebanyak 255,124 tahun lalu dengan majoritinya orang Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Inilah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan hubungan suami dan isteri. Pergaduhan dan konflik sama ada besar atau kecil sudah menjadi lumrah. Tiada satu pun perkahwinan yang semuanya menjanjikan bulan dan bintang.

Perceraian bukanlah sesuatu yang mudah bagi pasangan suami isteri. Banyak pahit dan perit mereka perlu lalui. Perceraian bukan sahaja berkaitan suami isteri, bahkan melibatkan keluarga. Paling terkesan adalah anak-anak yang bakal mengharungi hari mendatang tanpa kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa.

Satu kajian dilakukan sebelum ini mendedahkan jumlah perceraian pada 2020 adalah 45,754 kes manakala 255,124 kes tahun lalu dengan majoritinya orang Islam.

Terdapat beberapa punca berlaku krisis rumah tangga antaranya tidak serasi, curang, poligami, karenah dan campur tangan keluarga keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, hutang, ekonomi pasangan, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja melampau, cemburu buta, dera dan pengabaian.

Kebanyakan pasangan berkahwin hanya kerana dorongan nafsu tanpa memikirkan tanggungjawab selain gagal memainkan peranan sebagai ibu bapa yang baik bagi mewujudkan keluarga bahagia.

Ada juga alasan tidak masuk akal seperti isteri tidak memakai alat solek, isteri mengotorkan pakaian suami, isteri suka basuh baju pada waktu malam dan sebagainya yang dianggap remeh.

Kata kunci kepada masalah rumah tangga adalah komunikasi. Kedua-dua pasangan harus menyedari serta segera tangani isu-isu atau masalah yang berpotensi mengeruhkan hubungan.

Sebaliknya sentiasa bertimbang rasa dan bersikap terbuka, merendahkan ego, sedia menerima pandangan pasangan terhadap dirinya tanpa cepat melenting dan sentiasa meminta maaf bila menyedari kesalahan sendiri.-UTUSAN

AHMAD FITRI MOHD AS’RI & DR. MUHAMMAD RAQIB MOHD. SOFIAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN