SAUDARA PENGARANG,
SUSULAN kekalahan skuad badminton wanita negara di tangan Filipina dalam acara berpasukan di Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini, beberapa pihak yang terbabit dengan latihan pemain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai telah meletakkan jawatan.
Dalam kes ini, saya teringat ada pihak pernah menyebut bahawa jurulatih biasanya mendapat terlalu banyak pujian apabila pasukan menang dan terlalu banyak disalahkan apabila pasukan kalah.
Kita harus akui jurulatih memainkan peranan bagi meningkatkan prestasi pasukan tetapi dia bukan satu-satunya faktor yang memberi kesan kepada kemenangan atau kekalahan pasukan.
Seperti kita tahu, jurulatih membantu atlet mengembangkan potensi penuh mereka. Jurulatih bertanggungjawab menganalisis prestasi atlet, memberi arahan bagi meningkatkan kemahiran berkaitan dan memberikan galakan.
Kebanyakan atlet bermotivasi tinggi dan oleh itu, tugas jurulatih adalah untuk mengekalkan motivasi dengan menjana keseronokan dan semangat pada setiap kali perlawanan.
Jurulatih harus membantu atlet dengan menyediakan program latihan, berkomunikasi secara berkesan, membantu membangunkan kemahiran baharu, menggunakan ujian penilaian untuk memantau kemajuan latihan dan meramal prestasi atlet.
Tetapi kita perlu tahu bahawa terdapat faktor lain seperti bakat atlet yang turut mempunyai pengaruh dalam memastikan kejayaan pasukan selain bimbingan jurulatih.
Mempunyai bakat hebat walaupun bukan keperluan untuk menang adalah perkara sangat biasa untuk pasukan yang sering menjadi juara.
Walaupun melatih personaliti besar yang mempunyai bakat lebih mencabar, kebanyakan jurulatih akan menerima ‘masalah’ itu dan membangunkan kaedah mereka sendiri untuk melatih pemain bintang yang berbakat.
Malah, jurulatih hebat di peringkat profesional telah bergelut tanpa pemain bintang yang berbakat, memberikan kredibiliti kepada hujah bahawa pemain berbakat menjadikan pasukan lebih hebat. – UTUSAN
AZIZI AHMAD, Segambut Luar, Kuala Lumpur