Jauhi dehidrasi, hipertensi sepanjang fenomena El Nino - Utusan Malaysia

Jauhi dehidrasi, hipertensi sepanjang fenomena El Nino

INDIVIDU yang tidak biasa dengan cuaca panas perlu mengelak sebarang penglibatan aktiviti luar ketika fenomena El Nino melanda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kejadian cuaca lebih panas dan kering dijangka berlaku bermula bulan ini sehingga Oktober depan disebabkan fenomena El Nino.

Fenomena itu terhasil akibat pemanasan luar biasa permukaan Lautan Pasi­fik di rantau khatulistiwa sehingga menyebabkan perubahan cuaca drastik di benua Amerika Utara dan Selatan serta kemarau luar biasa di rantau Asia berdekatan wilayah Pasifik Barat.

Menurut pembahagian rantau oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara kita termasuk dalam lingkungan wilayah Pasifik Barat.

Secara umum dari segi geografi, wilayah Asia Tenggara keseluruhannya merupakan rantau yang terdedah terhadap kesan fenomena El Nino berkenaan.

Fenomena El Nino berpotensi menyebabkan cuaca yang lebih panas dan kering. Ini berpotensi menyebabkan kemarau, kekurangan bekalan air bersih, pendedahan terhadap cuaca panas yang menjejaskan kesihatan serta berlakunya jerebu.

Kesan langsung akibat peningkatan suhu harian boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kesan mendadak dan kesan berpanjangan.

Untuk individu yang tidak biasa dengan cuaca panas, pendedahan langsung dalam tempoh ketara secara berterusan boleh menyebabkan dia mengalami strok haba.

Peningkatan suhu mendadak dalam tempoh tidak normal menjejaskan metabolisme (proses kimia) organ dalaman sehingga mengakibat kegagalan jantung, buah pinggang, paru-paru serta organ utama lain.

Individu berkenaan akan mengalami gejala seperti peningkatan suhu tubuh, kadar pernafasan dan denyut nadi tinggi, tidak sedar, perubahan tahap mental dan tingkah laku, sakit kepala yang teruk serta loya dan muntah.

Individu rentan seperti warga emas atau pesakit buah pinggang kronik pula boleh berdepan komplikasi teruk sehingga mengakibatkan kematian seandainya tidak diberikan rawatan segera.

Untuk kesan kronik atau berpanjangan, antara yang sering diabaikan ialah kesan kekurangan air dalam tubuh (dehidrasi).

Ramai dalam kalangan warga emas terutamanya tidak mengambil air harian yang cukup sehingga mengakibatkan mereka terdedah kepada masalah dehidrasi teruk dan ini akhirnya boleh menjejaskan fungsi jantung dan otak.

Kesan dehidrasi ini juga bakal memburuk seandainya berlaku pencemaran air dan makanan yang mana individu berkenaan boleh mengalami muntah dan ciri-birit sekali gus menerukkan kehilangan air dari tubuh.

Situasi lebih panas juga menyebabkan keadaan tidak selesa dan mengakibatkan kurang fokus terhadap kerja-kerja rutin serta seseorang mudah stres dan mendapat sakit kepala.

Keadaan ini walaupun dianggap ringan, namun boleh menyebabkan keadaan lebih teruk kepada mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi (hipertensi).

Peningkatan suhu dan cuaca lebih kering juga menyebabkan individu yang mengalami alahan pada kulit berdepan situasi kulit lebih kering atau alahan semakin teruk.

Dalam menangani kemelut perubahan cuaca akibat fenomena El Nino ini, individu yang tidak biasa dengan cuaca panas perlu mengelak sebarang penglibatan aktiviti luar.

Pengambilan air minum seperti mana disyorkan, iaitu antara enam hingga lapan gelas sehari tidak boleh diabaikan. Bagaimanapun, mereka yang mengalami masalah buah pinggang perlu mengikut syor dinasihatkan oleh doktor yang merawat.

Di peringkat komuniti pula, amalan merokok dan menghisap vape perlu dibendung kerana kedua-dua tabiat berkenaan akan memburukkan pencemaran udara setempat di samping terus merosakkan fungsi paru-paru mereka yang mengamalkannya.

El Nino merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan. Namun, langkah pencegahan boleh dilaksanakan di peringkat individu serta komuniti secara kolektif. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MALINA OSMAN, Pakar perubatan kesihatan awam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya