SAUDARA PENGARANG,
ISU kegagalan kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 amatlah memalukan. Rakyat yang juga peminat sukan melihat kegagalan mencapai sasaran yang diimpikan tidak tercapai. Bukan sahaja gagal di Sukan SEA tetapi menjadi sejarah hitam bagi sukan tanah air apabila dicatatkan sebagai pencapaian terburuk negara dalam sejarah penganjuran temasya ini.
Atlet berlatih sepanjang tahun dengan peruntukan bukan sedikit tetapi hasilnya tidak setimpal. Bahkan keputusan mengetengahkan atlet muda untuk edisi kali ini hanyalah halusinasi sesetengah pihak memandangkan terikut-ikut negara lain juga berbuat demikian.
Alasan utama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ekoran punca kegagalan tersebut adalah tidak ada kestabilan politik dalam negara. Alasan ini buat pertama kali didengar oleh kita.
Malah dalam ceramah hebat semasa kempen, mereka langsung tidak menyebut tentang hal ini. Janganlah menuding jari atau pepatah Melayu ada menyebut, jangan salahkan lantai jika tidak pandai menari.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Pahang suka mengingatkan menteri ini bahawasanya jawatan yang disandang sekarang adalah hasil gerakan parti politik DAP. Gabungan parti ini juga tidak mencukupi untuk mendirikan kerajaan sewaktu selesai pilihan raya sehingga terpaksa berkerjasama dengan parti paling dikritiknya semasa siri ceramah pilihan raya lalu. Justeru, alasan kestabilan politik adalah alasan yang langsung tidak boleh diterima akal di mana kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga hasil daripada keadaan politik tidak stabil.
Oleh itu, kegagalan mutlak menteri memahami sektor sukan secara terperinci adalah sangat mengecewakan. Adalah diharapkan KBS digantikan oleh pimpinan yang mempunyai misi jelas dan sangat bertanggungjawab dengan kadar segera agar pencapaian sukan negara tidak terus merosot dengan alasan-alasan dangkal. Cermin diri sendiri dahulu sebelum mengkritik pihak lain.-UTUSAN
MOHD. FIRDAUS HASHIM
Ketua Penerangan Pejuang Pahang