Jangan salahkan kerajaan sahaja isu tidak minat belajar - Utusan Malaysia

Jangan salahkan kerajaan sahaja isu tidak minat belajar

Mana mungkin kita rela anak kita berasa tidak selesa untuk ke sekolah semata-mata kerana masalah tudung?. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ULAMA dari Indonesia, Hamka dalam buku bertajuk Pribadi Hebat ada menyebut: “Pendidikan yang menumbuhkan kedua-dua kemampuan penting – berpikir dan bekerja. Kemampuan memikirkan dan kemampuan mengerjakan harus dikuatkan pada masa merdeka.”

Statistik Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan seramai 14,858 orang atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 adalah membimbangkan.

Ini kerana angka itu meningkat 10,681 orang atau 2.7 peratus calon daripada jumlah keseluruhan yang tidak hadir menduduki SPM 2021.

Ia menunjukkan pelajar telah hilang minat dan kesedaran untuk menuntut ilmu seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Di pihak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), kami masih menunggu hasil dapatan KPM untuk melihat faktor sebenar calon-calon tidak hadir peperiksaan itu.

Hasil dapatan ini penting untuk mengatur dan menilai kembali strategi dan pendekatan yang sesuai untuk menangani permasalahan ini.

Semestinya, isu calon tidak hadir peperiksaan memerlukan pemerhatian dan pertimbangan yang holistik.

Ia bukan sahaja isu yang perlu ditangani oleh warga pendidik tetapi juga ibu bapa serta masyarakat keseluruhannya.

Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2022 menjadikan SPM sebagai peperiksaan awam tunggal untuk diduduki oleh pelajar sekolah menengah.

Ia juga merupakan kelayakan minimum seseorang pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki pasaran kerja.

Oleh demikian, kegagalan hadir untuk melengkapkan pengajian di peringkat menengah ini memerlukan intervensi pelbagai pihak.

Selain isu calon SPM tidak hadir, jumlah calon yang gagal mendapatkan sijil SPM bagi 2022 sebanyak 31,414 orang iaitu 8.4 peratus daripada keseluruhan calon juga memerlukan perhatian KPM.

GPMS berpendirian, intervensi secara khusus perlu dibuat bagi mengenal pasti punca dan solusi untuk membantu kumpulan yang gagal mendapatkan sijil SPM.

Ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam membantu dan mendorong anak mereka untuk memastikan sekurang-kurangnya mendapat keputusan minimum bagi melayakkan mereka mendapat sijil SPM.

Dalam pada itu, sekiranya wujud kecenderungan pelajar kepada pengajian berbentuk kemahiran, mereka perlu segera dipimpin ke Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). GPMS melihat peluang pendidikan dalam bidang TVET sungguh besar dan signifikan.

Lebih-lebih lagi selari dengan pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memperkenalkan Program Asasi TVET.

Langkah ini memberikan gambaran jelas bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua tetapi patut dan wajar dipertimbangkan sebagai pilihan utama pelajar.

Tuntasnya, isu minat untuk belajar dan menyambung pengajian bukan mudah yang hanya memerlukan perhatian KPM ataupun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ia merupakan satu isu besar dan kompleks kerana melibatkan pemain industri dan dasar hala tuju kerajaan supaya pelajar dapat melihat di manakah diri mereka dalam tempoh lima tahun mendatang.

Peranan kita sebagai masyarakat adalah untuk menjadi penyuluh kepada pelajar yang mengambil peperiksaan SPM supaya mereka dapat membuat keputusan tepat demi masa depan diri dan negara. – UTUSAN

KU AMIRUL FAIZ KU SEMAN, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya