Jangan hanya tahu lahirkan anak, kena jaga dengan baik juga

Jangan hanya tahu lahirkan anak, kena jaga dengan baik juga

PENGLIBATAN anak-anak dalam masalah sosial berpunca daripada pengabaian tanggungjawab ibu bapa dalam melindungi dan menjaga anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN beban tugas menjadi seorang ibu bapa adalah amat sukar, namun ia merupakan tanggungjawab mereka dalam menjaga dan melindungi anak-anak sepanjang masa.

Mereka tidak boleh lepas tangan atau amalkan sikap tidak ambil peduli kerana menjadi ibu bapa adalah pilihan diri sendiri. Mereka yang membawa anak-anak ke dalam dunia ini. Mereka tidak boleh hanya sekadar lahirkan anak tanpa menjaga dan melindungi mereka.

Semenjak akhir-akhir ini sering kedengaran mengenai isu kanak-kanak yang tidak dipantau dan terlibat dengan aktiviti sosial seperti basikal lajak, membawa kenderaan tanpa sebarang lesen, lumba haram, melepak, bermain mercun berbahaya, dadah dan aktiviti jenayah lain.

Ibu bapa memainkan peranan penting serta perlu sedar menjaga dan melindungi anak-anak ini bukan sahaja satu bentuk tanggungjawab moral, malah ia termaktub dalam peruntukan undang-undang antarabangsa serta negara kita juga.

Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan dengan jelas bahawa (1) mana-mana orang yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak (a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; atau (b) yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Oleh yang demikian, semua pihak khususnya ibu bapa perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga serta melindungi anak-anak mereka.

Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana ibu bapa atau penjaga yang cuai atau gagal melindungi anak-anak mereka.

Sudah sampai masanya juga aspek peruntukan undang-undang ini didedahkan secara terperinci kepada semua pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan supaya mereka mengetahui tentang tindakan yang boleh diambil terhadap diri mereka sekiranya tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya