SAUDARA PENGARANG.
MALAYSIA Madani merujuk kepada negara ini yang sedang menuju ke arah negara kelas pertama. Konsep ini mempunyai kerangka falsafah bertonggakkan enam rukun utama dengan menjadikan moral dan akhlak sebagai jalur pendidikan yang relevan sampai bila-bila kerana naluri insan yang sentiasa terarah kepada keluhuran budi.
Menurut ulama, Profesor Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, akhlak adalah satu juzuk untuk membentuk masyarakat sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia menyatakan pembaharuan moral yang perlu dilakukan oleh orang Asia termasuk belia adalah dari sudut nilai, kebudayaan dan tamadun.
Hal ini mengukuhkan kenyataan bahawa akhlak atau adab mampu mengubah landskap nilai masyarakat dalam sesebuah negara. Adab dan akhlak mampu menjadikan seseorang bersifat karamah insaniah (kemuliaan insan) sama seperti salah satu konsep Malaysia Madani iaitu ihsan.
Imam al-Ghazali menyebut, ihsan ialah melakukan sesuatu amalan melebihi budaya pengamalannya. Maksudnya, golongan belia harus keluar dari kelompok kebiasaan dengan harus berdaya saing untuk memperbaiki sesuatu perkara ke arah yang lebih positif. Contohnya, inisiatif kerajaan mengenakan kutipan cukai terhadap golongan berpendapatan tinggi (T20) dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar.
Tidak berlebihan jika dicadangkan agar nilai ihsan diletakkan sebagai teras dalam kerajaan perpaduan ini. Tentu mempunyai cabaran dan rintangan tetapi ia boleh menjadi faktor utama menyumbang kepada penyelesaian sikap belia yang banyak terpengaruh dengan budaya Barat.
Konsep ini adalah ideologi besar, jika ingin dipraktikkan dalam dasar pemerintahan. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan, lebih-lebih lagi untuk membangunkan belia.
Tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak. Paling utama, ibu bapa dan pendidik harus bersatu padu dalam menerapkan konsep Malaysia Madani ini. Bahkan, para pemimpin seharusnya menterjemah konsep ini ke dalam pentadbiran negara secara progresif.
Sekiranya peranan ini dipikul oleh semua pihak, maka kita akan menyaksikan sesebuah negara itu diterajui oleh komuniti belia yang mempunyai prinsip akhlak mulia dan budi pekerti tinggi. – UTUSAN
MUHAMMAD ZAQWAN HAKEEM MALEK, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)