SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT pelbagai salah tanggapan terhadap ibadat korban yang dilakukan sempena Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik, iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah dengan mengatakannya sebagai satu penyeksaan dan tindakan kejam ke atas haiwan.
Islam tidak pernah mengajar umatnya bertindak kejam dan menyeksa haiwan malah meletakkan kedudukannya sesuai pada tempatnya tanpa menakafin manusia merupakan sebaik-baik makhluk menurut konsep ahsani taqwim. Namun, Islam juga sebenarnya meletakkan haiwan pada kedudukan yang sama dengan manusia kerana kedua-dua makhluk ini adalah ciptaan Allah digelar ummah.
Berdasarkan penyelidikan, terdapat lebih 60 hadis Nabi SAW yang boleh dijadikan garis panduan etika terhadap haiwan. Namun, secara rangkumannya, terdapat lima prinsip etika haiwan yang utama dapat dihasilkan daripada analisis hadis-hadis tersebut, iaitu kelembutan dan kebajikan terhadap haiwan, penjagaan haiwan dalam kurungan, penyediaan makanan mencukupi, pencegahan penyeksaan dan kekejaman serta penyediaan rawatan daripada kesakitan.
Ini jelas menunjukkan Islam sentiasa mengambil berat tentang kebajikan haiwan. Malah, untuk tujuan sembelihan, Islam telah menggariskan panduan etika yang komprehensif bagi memastikan kesakitan dialami haiwan adalah minimum. Islam sentiasa menganjurkan kaedah bagi memperbaiki cara menyembelih haiwan.
Sekurang-kurangnya terdapat 10 garis panduan etika Islam dalam penyembelihan haiwan korban iaitu:
1. Berniat untuk tujuan dimakan.
2. Hendaklah menyebut nama Allah (tasmiyah) sewaktu menyembelih, disunatkan menyebut bismillahi wallahu akbar. Amalan ini menunjukkan penyembelihan dilakukan kerana Allah dan bukan kerana nafsu.
3. Penyembelih dan haiwan sembelihan disunatkan menghadap kiblat kerana korban adalah ibadat.
4. Disunatkan juga melakukan sembelihan pada waktu siang kerana ditakuti berlaku kesilapan sekiranya gelap.
5. Kedudukan haiwan ketika disembelih mestilah dalam keadaan yang sebaiknya. Disunatkan juga untuk membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan lembut dan kepalanya diangkat sedikit. Harus juga dibaringkan di rusuk kanan sekiranya sukar untuk melakukan penyembelihan.
6. Penyembelih yang kekok menyembelih sunat digantikan dengan orang lebih mahir agar tidak menyakiti binatang sembelihan.
7. Urat-urat leher binatang buruan juga hendaklah diputuskan segera.
8. Sembelihan hendaklah tidak sampai ke saraf tunjang. Makruh memutuskan kepala daripada badannya yang akan menyeksa dan menambah kesakitan tidak diperlukan.
9. Pisau hendaklah diasah bagi melancarkan sembelihan.
10. Penyembelih disunatkan berlembut terhadap binatang sembelihan dengan tidak memukul, ditarik kaki dan dipijak kerana hanya akan menambah penderitaannya.
Secara fizikal, haiwan diciptakan untuk dijadikan sumber makanan dan kemudahan pengangkutan kepada manusia. Secara spiritual pula, haiwan adalah makhluk yang beribadat dan berzikir kepada Tuhan.-UTUSAN
DR. MOHD ISTAJIB MOKHTAR
Universiti Malaya