Ibadah haji memiliki keistimewaan tersendiri

Ibadah haji memiliki keistimewaan tersendiri

IBADAH dalam Islam itu adalah sempurna dan melengkapi sama ada pada aspek rohani-jasmani, imanamal dan aqli-naqli. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM Islam, setiap ibadah memiliki kedudukan yang penting dan istimewa. Oleh kerana itu setiap ibadah wajib memiliki nama dan maksudnya yang tersendiri.

Dalam konteks ibadah haji, ia bermaksud kunjungan ke Baitullah pada masa yang ditentukan serta melaksanakan kewajipan seperti ditetapkan agama.

Ibadah haji memiliki keistimewaan tersendiri kerana ia bersifat multidimensi membabitkan pelaksanaan secara fizikal, rohani dan harta. Aspek fizikal dalam ibadah haji bermaksud kesihatan tubuh badan, kemampuan bergerak dan lain-lain. Ini menuntut setiap Muslim untuk menjaga kesihatan tubuh badan demi melaksanakan ibadah kepada-Nya.

Selain itu, syarat pemilikan harta yang mencukupi telah membina komitmen dan tanggungjawab setiap Muslim untuk sedaya upaya mengumpul kewangan semata-mata demi Allah dan bukannya keperluan peribadi. Maksud ibadah secara rohaniah dalam konteks ini lebih istimewa kerana pelaksanaannya dilakukan secara beramairamai dan bukan berseorangan.

Namun, bagaimana pengalaman rohaniah seperti ini mampu diraih? Pertama, berhimpunnya manusia terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan seragam putih yang sama (pakaian ihram) di tempat sama memberi kesedaran bahawa kita semua adalah sama kedudukannya di sisi Allah. Di Arafah, segala gelaran, pemilikan harta, kemasyhuran dan lain-lain ‘ditinggalkan’ di luar manakala yang diutamakan adalah amal dan takwa kerana itulah yang dipandang oleh Allah. Dengan itu pemakaian ihram sendiri menggambarkan kerendahan hati dan kesaksamaan setiap manusia.

Kedua, ia mengingatkan kita tentang hari perhitungan di mana setiap manusia akan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Rasa keinsafan sewajarnya dirasai kerana ia seumpama satu simulasi bagaimana kelak kita akan dihimpunkan, ditanya serta dipertanggungjawabkan dengan setiap perbuatan yang dilakukan.

Ketiga, Islam mengajar umatnya bahawa pelaksanaan ibadah bersifat multidimensi ini bukan sekadar membabitkan hubungan dengan Allah tetapi juga hubungan sesama manusia. Oleh itu, akhlak, sikap dan adab sesama manusia juga merupakan tuntutan ibadah yang tidak boleh diketepikan.

Ibadah dalam Islam itu adalah sempurna dan melengkapi sama ada pada aspek rohanijasmani, iman-amal dan aqli-naqli. Ia sesuai dengan hakikat diri manusia yang memiliki daya akal, roh, hati, jiwa dan nafs yang menempati jasad fizikal. Oleh itu, ibadah yang dilakukan penuh penghayatan pasti membuahkan kecintaan dan rasa syukur pada Allah.-UTUSAN

DR. MOHD. KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya