SAUDARA PENGARANG,
FENOMENA El Nino atau cuaca panas yang melanda negara bermula bulan ini sehingga Oktober depan menimbulkan kebimbangan berulang kes gangguan bekalan air khususnya di Lembah Klang yang mempunyai jumlah pengguna ramai.
Terlalu banyak kegunaan air dalam kehidupan harian kita. Kalau tiada elektrik, kita mampu bertahan lagi. Namun, kalau tiada air, kita jadi buntu dan mati kutu.
Bagi memastikan setiap negeri mempunyai bekalan air bersih mencukupi, jangan jadikan kawasan tadahan air hujan sebagai ‘mangsa’ untuk sesebuah projek pembangunan.
Rakyat tidak menolak pembangunan dan jika berkemampuan, tidak salah hendak buat pulau buatan, lapangan terbang futuristik, sistem kereta api laju mahupun bangunan menggapai awan.
Namun, pastikan bekalan air bersih terawat kepada rakyat terjamin dan tiada gangguan. Apa gunanya ada infrastruktur moden kelas pertama tetapi tiada bekalan air mencukupi dan sering berlaku gangguan?
Selalunya orang naik lif bawa beg membeli-belah dipenuhi barang keperluan tetapi disebabkan berlaku gangguan bekalan air, kita naik lif sambil bawa baldi berisi air yang diambil dari lori tangki setelah berjam-jam beratur di bawah panas terik. Itupun kalau lif tidak rosak.
Ingatlah, air adalah untuk keperluan semua rakyat, tetapi projek-projek mega adalah untuk golongan tertentu sahaja.
Golongan marhaen hanya mampu melihat kondominium mewah di pulau buatan dari jauh, melambai-lambai tangan ke arah kapal terbang dari sawah padi atau merasai gegaran rumah setiap kali kereta api laju melalui landasan berhampiran kampung mereka.
Di Lembah Klang kerap berlaku gangguan bekalan air. Operasi kilang terganggu, perniagaan makanan dan minuman terjejas, kedai dobi terpaksa ditutup sementara dan perkhidmatan perhotelan serta pelancongan menghadapi masalah pembatalan tempahan.
Paling membimbangkan, ia akan menghakis keyakinan pelabur. Pelabur sedia ada sudah tentu merungut. Bakal pelabur pula akan berfikir banyak kali untuk melabur di negara kita.
Dalam pada itu, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mereka yang mencemar sungai dan sumber air mentah lain sehingga menyebabkan berlaku gangguan bekalan air.
Kalau setakat denda, syarikat-syarikat besar mampu membayarnya. Kenakan hukuman tiga serangkai sekali gus, iaitu sebat, penjara dan denda sebagai hukuman ke atas semua pesalah tidak kira jenis – ‘ikan bilis, bawal, siakap, jerung dan paus.’
Jika kawalan keselamatan dan pemantauan ke atas sumber air mentah dilakukan sambil lewa sahaja, syarikat dan agensi kerajaan yang menguruskan sungai dan sumber air juga harus bertanggungjawab dan dikenakan tindakan jika berlakunya pencemaran.
Kerajaan perlu sentiasa berusaha untuk terus memastikan sumber air mentah terjamin, mencukupi, tidak tercemar dan sentiasa dipantau. – UTUSAN
MARISSA QT, Kuala Lumpur