Hidup tenang tanpa dibelenggu hutang - Utusan Malaysia

Hidup tenang tanpa dibelenggu hutang

SETIAP Muslim perlu mencari alternatif bagi mendapatkan pendapatan sampingan tanpa melalui jalan berhutang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISLAM menganjurkan supaya setiap Muslim sentiasa mengurus perbelanjaan secara bijak dan berhemah. Ini bertujuan memastikan kehidupan seharian mereka tenang tanpa dibebani dengan hutang dan pembaziran.

Kehidupan hari ini dilihat kian mendesak apabila kos sara hidup semakin meningkat dan menjadi suatu beban bagi setiap orang. Namun, hal demikian dapat diatasi sekiranya setiap Muslim bijak berbelanja secara berhemah dan membuat perancangan kendiri untuk memastikan segala permasalahan berkaitan kos sara hidup dapat diselesaikan.

Jika perbelanjaan seorang melebihi pendapatan maka seharusnya langkah awal yang tegas perlu dipraktikkan melalui perbelanjaan berhemah. Ini bagi memastikan bahawa setiap Muslim tidak akan terbeban dengan perbelanjaan yang tidak bermanfaat dan membazir.

Selain itu, bagi memastikan perbelanjaan secara berhemah dapat diamalkan, setiap Muslim perlu mencari alternatif bagi mendapatkan pendapatan sampingan yang boleh menambah baik kehidupan seharian tanpa melalui jalan berhutang.

Sekiranya berhutang merupakan jalan yang perlu dilalui maka pastikan hutang tersebut tidak menjadi beban di kemudian hari. Berhutang hukumnya harus dan melangsaikannya adalah wajib.

Jika kemampuan untuk melunaskan hutang tersebut tidak menimbulkan kesulitan di kemudian hari maka ia dibolehkan dengan syarat individu terbabit mampu melunaskan hutang tersebut.

Jangan berhutang secara berlebihan di luar kemampuan untuk membayarnya. Hal ini diingatkan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sebagai kesimpulannya, perbelanjaan berhemah mampu memberikan jalan keluar terhadap isu kos sara hidup yang membelenggu masyarakat hari ini. Manusia perlu sentiasa berusaha untuk merancang dengan bijak supaya kehidupan yang dilalui tidak menghadapi pelbagai kesulitan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menghidupkan amalan berbelanja secara berhemah, menjauhi pembaziran dan mengelak hutang yang berpanjangan. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya