SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas satu video tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang ahli perniagaan, Hafiz Mahamad yang membuat kejutan menyampaikan hadiah hari kelahiran isterinya di dalam pawagam.
Hafiz menghadiahkan isterinya pakej menunaikan haji pada tahun ini yang turut disertai kedua-dua ibu bapa mentuanya. Tindakan beliau adalah untuk menghargai seorang isteri yang sentiasa ada disisinya.
Perkongsian yang mendalam dan menyentuh hati penonton terutama wanita memberi mesej penting buat suami di luar sana supaya menghargai isteri mereka.
Pada pandangan saya, menghargai pasangan adalah suatu perkara yang penting dalam sesebuah rumah tangga. Dengan menghargai pasangan, rumah tangga menjadi lebih harmoni dan hubungan lebih mesra.
Menghargai bukan susah, namun ramai yang menganggap perkara ini sebagai remeh. Menghargai pasangan juga salah satu cara untuk mengelak daripada berlaku perceraian.
Ramai tidak sedar bahawa komunikasi yang baik adalah kunci untuk memahami dan menghargai pasangan. Mendengar dengan penuh perhatian terhadap segala apa yang diungkapkan oleh pasangan sudah cukup membuat mereka rasa bahagia.
Fitrah seorang perempuan adalah inginkan perhatian. Menolong melakukan kerja rumah seperti membasuh pakaian, memasak dan menjaga anak-anak juga salah satu cara menghargai isteri.
Hal ini dapat meringankan beban pasangan, walaupun kecil bagi kita tetapi cukup bermakna kepada isteri. Selain itu, perlu juga ungkapkan ucapan terima kasih sebagai tanda penghargaan untuk isteri yang membantu suami dalam menjaga keluarga.
Ucapan terima kasih juga mampu membuatkan pasangan tersenyum. Dari perspektif Islam, menghargai pasangan hidup adalah salah satu nilai yang sangat ditekankan.
Islam mengajar pentingnya menjaga hubungan yang baik antara suami dan isteri. Segala penat lelah isteri hilang apabila dihargai suami.
Kesimpulannya, menghargai isteri bukan susah. Tidak perlu kepada benda yang mewah dan harta kekayaan untuk menghargai isteri. Cukup dengan melakukan perkara yang dinyatakan tadi. – UTUSAN
WAN NUR NAFISAH WAN MOHD. NASIR, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)