SAUDARA PENGARANG,
SEJAK dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mengingatkan betapa integriti dan tatakelola baik adalah tonggak kepada sebuah kerajaan yang berkesan.
Ini sesuai dengan slogan Malaysia Madani yang menitikberatkan prinsip kemampanan dan kesejahteraan.
Lagipun, kepercayaan umum terhadap institusi negara yang terpalit isu integriti dan rasuah akan tergugat sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.
Selain pelaksanaan undang-undang dan pembudayaan integriti ke atas masyarakat, kerajaan juga boleh memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan dan mencegah penipuan serta penyalahgunaan dana kerajaan.
Melalui teknologi ini, setiap data berkaitan kepentingan awam akan direkod dan dianalisis coraknya secara masa nyata, sekali gus mengenal pasti penyelewengan melalui transaksi luar kebiasaan terutama dalam perolehan dan penguatkuasaan.
Ini dibantu oleh teknologi AI generatif yang mampu memanipulasi dan mensintesis data sedia ada bagi mendapatkan hasil dikehendaki.
Contohnya, aplikasi ChatGPT yang menghasilkan kandungan dalam bentuk teks dan Midjourney menghasilkan imej.
China umpamanya, memanfaatkan teknologi ini untuk memantau tingkah laku penjawat awam dalam mengenal pasti potensi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka.
Selain China, Estonia juga mengaplikasikan AI dalam mengesan penipuan dan pengelakan cukai dengan lebih cekap dan efisien.
Usaha ini adalah rentetan pelbagai program digitalisasi cukai yang dilaksanakan negara tersebut sejak 2000.
Menariknya, ia terbukti meningkatkan kepercayaan awam dengan 91 peratus rakyatnya bersetuju yang cukai adalah tanggungjawab perlu dipikul bersama.
Di Malaysia, ratusan tuntutan palsu dana Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan nilai RM43 juta antara 2018 sehingga 2022 adalah antara kejadian boleh diminimumkan jika jabatan berkaitan mengadaptasi AI.
Penggunaan AI dan data raya juga boleh diperluaskan untuk mengenal pasti individu atau kumpulan yang berhak mendapat bantuan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bantuan Rahmah dengan lebih holistik.
Melalui analisis data raya, pemilihan boleh disandarkan atas pelbagai faktor selain pendapatan isi rumah seperti tahap keberhutangan, kesihatan, keterlibatan dalam bencana dan pendidikan anak-anak.
Bagi memastikan segala cadangan ini dapat dilaksanakan, kerajaan perlu mula menyerapkan pengetahuan teknologi seperti AI generatif dan data raya dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi pengajian tinggi (IPT). – UTUSAN
AHMAD WIRAPUTRA SELAMAT, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)