SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memberi pandangan berkenaan hakikat 29,633 daripada 388,832 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Hakikat ini menyebabkan golongan muda tidak mempunyai sijil yang memaparkan kelulusan akademik apabila memohon pelbagai jawatan di sektor kerajaan mahupun swasta.
Ini kerana SPM adalah satu-satu peperiksaan rasmi yang ada setelah kerajaan memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di peringkat sekolah menengah dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di peringkat sekolah rendah.
Hendak menyalahkan pelajar 100 peratus, tidaklah adil kerana situasi semasa negara sudah tidak menarik minat pelajar untuk mengambil peperiksaan SPM, inikan pula menyambung pelajaran ke menara gading.
Bagi saya, faktor ekonomi menjadi penyebab utama pelajar tidak berminat belajar kerana rakyat sudah terhimpit oleh perbelanjaan harian semakin meningkat akibat kenaikan harga barangan yang seolah-olah tidak terkawal oleh kerajaan.
Keluarga yang ramai anak belajar di sekolah rendah dan menengah sudah tentu memerlukan perbelanjaan harian yang tinggi seperti tambang bas, duit belanja dan lain-lain termasuk makan, minum, pakaian, belanja dapur dan sebagainya.
Bagi golongan berpendapatan rendah (B40), perbelanjaan yang tinggi untuk makanan adalah perlu bagi meneruskan kehidupan dan perkara itu lebih diutamakan berbanding pendidikan.
Selain itu, pengangguran yang tinggi dan peluang untuk mendapatkan pekerjaan dengan menggunakan sijil SPM waima ijazah adalah tidak pasti menyebabkan ada pelajar berpendapat, membuang masa sahaja untuk belajar dan mengambil peperiksaan.
Dari segi pendapatan pula, gaji lulusan ijazah hampir sama dengan gaji lulusan SPM dan tiada maknanya belajar sehingga mendapat ijazah.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan pasaran kerja di Malaysia sudah tidak menjamin masa depan dan tidak sepadan dengan kelulusan akademik dimiliki.
Tidak adil hendak menyalahkan pelajar sepenuhnya dan bagi saya, kerajaan perlu bertindak segera agar pelajar dapat memperoleh gaji setimpal dengan kelulusan mereka miliki.
Sebelum ini, lulusan SPM boleh mengisi pekerjaan di bidang separa mahir dan ijazah di bidang profesional tetapi sekarang semuanya berubah.
Sehingga hendak mencari sesuap nasi, pencari kerja berkelulusan ijazah sudah tidak kisah lagi asalkan mendapat pekerjaan walaupun bekerja sebagai kerani.
Akhir kata, kegagalan kerajaan dalam menangani kegawatan di sektor pendidikan ini bakal menyebabkan pemerintah gagal untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berteknologi tinggi.
Ini kerana sumber manusia berkemahiran dan berpengetahuan tinggi adalah salah satu syarat untuk menjadi negara maju dan nampaknya kerajaan gagal dalam hal ini.
Walaupun pelbagai alasan diberikan, fenomena pelajar tidak berminat menimba ilmu pengetahuan ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dan sesuatu perlu dilakukan supaya mereka terus berminat belajar.
Pada masa sama, kerajaan perlu menyediakan peluang pekerjaan mencukupi bagi menampung lepasan SPM dan universiti.
Yang tercicir SPM, bantulah mereka untuk meneruskan pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia perlulah mengutamakan lepasan SPM dan universiti untuk mengisi pasaran buruh tempatan dan bukan warga asing.
Amatilah ungkapan, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China dan pepatah Barat, pengetahuan adalah kuasa. – UTUSAN
HENDAK SERIBU DAYA, Temerloh, Pahang