SAUDARA PENGARANG,
INOVASI adalah elemen penting dalam pembangunan ekonomi negara. Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat, inovasi adalah kunci kejayaan dalam mempertahankan kedudukan dan daya saing negara di arena global.
Menggalakkan inovasi dalam kalangan golongan muda adalah penting bagi memastikan kelestarian ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Sekolah dan institusi pengajian tinggi harus memperkenalkan budaya inovasi dalam pendidikan. Hal ini dapat dilakukan dengan memperkenalkan kursus dan program yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah, kreativiti dan inovasi.
Sementara kerajaan boleh membuka lebih banyak peluang keusahawanan bagi golongan muda. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan dana perniagaan, sokongan perundingan dan mentorship untuk
membantu golongan muda melaksanakan idea dan produk baharu. Selain itu boleh meningkatkan akses kepada teknologi dengan menyediakan lebih banyak kemudahan dan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur teknologi.
Kerajaan wajar memberikan insentif kepada pencipta agar dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk terus mencipta idea dan produk baharu. Paten adalah penting untuk melindungi hak kekayaan intelektual. Kerajaan boleh memberikan insentif perlindungan dan mempermudah proses pengajuan paten. Pengiktirafan dan penghargaan dapat memberikan motivasi kepada pencipta untuk terus menghasilkan produk baharu. Kerajaan boleh memberikan anugerah dan pengiktirafan kepada pereka yang mencipta produk dan idea baharu yang memberi impak kepada masyarakat.
Penghargaan terhadap pencipta penting untuk memastikan mereka terus memberikan sumbangan kepada masyarakat termasuk melalui perkongsian pengalaman dalam mencipta produk dan idea baharu kepada golongan muda yang berminat dalam bidang inovasi.
Sokongan kerajaan boleh diberikan dalam bentuk pembangunan infrastruktur dan sumber kewangan untuk membantu mereka menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk.-UTUSAN
MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)