SAUDARA PENGARANG,
MENGIKUT sejarah, China pernah mengiktiraf Palestin dan turut menjalankan hubungan yang berpihak dengan Israel. Tetapi setelah berlakunya Perang Saudara China yang dimenangi oleh Parti Komunis China, negara itu menyokong Palestin dan tidak lagi berpihak kepada Israel.
Bahkan China tidak bersetuju dan mengutuk segala keganasan yang dilakukan Israel sebaliknya menyokong segala perjuangan Palestin dan membuat hubungan dua hala sehingga hari ini.
China ketika ini merupakan negara yang berpengaruh dan dihormati. Malah, negara itu mencapai tahap kuasa dunia yang baharu selepas banyak kejayaan diperoleh berbanding negara kuasa besar lain.
Negara ini turut memberi banyak bantuan kepada Palestin dari segi kewangan, ubat-ubatan, pembinaan prasarana dan sebagainya.
Malah mereka mengecam tindakan Israel yang sangat tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati perut dengan membunuh ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah selain menghalau mereka dari tempat tinggal.
Semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China antara negara yang mengusulkan mengenai isu kekejaman ke atas penduduk Palestin dan mendesak Israel menghentikan serangan kejam itu.
China juga mendesak Israel untuk menghentikan operasi ketenteraan dan menarik balik tentera, membuka semua pusat kawalan sempadan ke Gaza dan menjamin penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa gangguan.
Wakil China turut menggesa Israel supaya menghormati status sejarah Baitulmuqaddis dan menghormati status sah rakyat Palestin. Kuasa besar seperti China inilah yang diperlukan untuk mengambil semula Baitulmuqaddis daripada tangan Israel.
Walaupun China masih lagi dalam fasa menjadikan mereka sebagai salah satu kuasa besar dunia, tetapi kehebatannya yang terkenal dengan Tembok Besar China turut diakui dan ditakuti oleh beberapa negara lain. Ini menunjukkan sokongan terhadap Palestin tidak semestinya disokong oleh negara-negara Islam sahaja. – UTUSAN
NUR HIDAYAH ZAINUDDIN & PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR, Jabatan Sejarah & Tamadun Islam, Universiti Malaya