SAUDARA PENGARANG,
SAYA bersetuju dengan pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, baru-baru ini yang menggesa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) melakukan pembaharuan dan pembetulan semula terhadap kejatuhan ekonomi serta pendapatan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi mendapat kepercayaan rakyat.
Beliau berkata, negara kini berdepan kemerosotan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit serta penarafan rating di samping merudumnya kedudukan fiskal negara.
Pandangan beliau ada benarnya kerana pelbagai masalah dalam negara sekarang tidak menampakkan tanda-tanda pemulihan walaupun kerajaan perpaduan sudah lebih enam bulan mentadbir.
Masalah seperti tidak terurus dan kerajaan seolah-olah hilang kawalan untuk menyelesaikannya. Antaranya kemerosotan ekonomi, isu sosial, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pertelingkahan politik sehingga kerajaan hilang tumpuan untuk mentadbir negara.
Rakyat mengharapkan selepas PRU15, ada sedikit pemulihan dalam sektor tertentu terutama ekonomi, namun kelihatan saban hari semakin tidak terkawal dan langkah pengawalan oleh kerajaan pula tidak jelas dan seolah-olah langsung tiada.
Umpamanya, kenaikan harga barang yang menyesakkan hidup rakyat terus berlaku sehingga wujud tanggapan tiada langkah pengawalan dibuat oleh kerajaan.
Rakyat terutama orang kampung, penduduk miskin bandar dan yang mempunyai ramai tanggungan umpama hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dalam mengharungi kehidupan.
Melalui ruangan ini, saya berharap kerajaan dapat menangani masalah-masalah terbabit yang sedang kritikal. Petunjuk ekonomi negara tidak mencerminkan keadaan positif.
Ini terbukti apabila kenaikan harga barang sudah boleh dianggap keterlaluan, peningkatan kadar gaji masih dikaji, harga rumah terlalu tinggi dan kos sara hidup semakin naik seiring kejatuhan nilai ringgit.
Malaysia juga didapati gagal menarik pelabur langsung asing (FDI) apabila dikatakan masih berada di belakang Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Pandangan saya, keadaan negara sekarang boleh dikatakan sudah menghampiri darurat ekonomi dan para pemimpin tidak boleh berdiam diri.
Pemimpin tidak boleh lagi memberikan alasan akibat ketidaktentuan ekonomi dunia khususnya langkah pengukuhan dolar Amerika Syarikat kerana Vietnam, Indonesia, Filipina, Singapura dan sebagainya boleh pula mengharungi kemelut itu tanpa sebarang masalah.
Negara-negara terbabit boleh menarik banyak FDI untuk mengukuhkan ekonomi mereka seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi domestik. Akhir kata, jangan diheret rakyat dalam percaturan dan persengketaan politik yang tiada noktah.
Sampai bila rakyat mahu menanggung kenaikan harga barangan dan sampai bila anak muda lepasan sekolah menengah dan universiti menjadi penganggur kerana kurang peluang pekerjaan? Sampai bila penjawat awam bertaraf kontrak akan terus kekal dengan jawatan tidak tetap itu?
Sampai bila rakyat boleh membeli rumah sendiri jika kebanyakan rumah hanya mampu dilihat? Sampai bila rakyat akan kekal dengan ketidaktentuan ini? Hanya Allah Yang Mengetahui. – UTUSAN
SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA, Pahang