SAUDARA PENGARANG,
PEJABAT Pertanian Jasin di Melaka telah membantu kami dengan sokongan pemberian baja subur atau dikenali baja 15 dan baja organik.
Pegawai dan kakitangan di Pejabat Pertanian itu mendorong kami sekeluarga untuk gigih menanam serai dan durian. Insya-Allah hasil akan di tuai untuk kali kedua dalam 45 hari lagi.
Penghasilan untuk kali pertama hanya sebanyak 850 kilogram (kg). Ini kerana kami belum menanam sepenuhnya di tanah seluas dua ekar.
Bimbingan dari pihak Pejabat Pertanian yang profesional membuatkan kami ingin meluaskan aktiviti pertanian kerana dapat membantu negara dalam mengurangkan import bekalan makanan. Melalui bantuan ini, kami dapat menghasilkan sayur-sayuran untuk keperluan harian rakyat.
Saya amat berterima kasih dengan sokongan Pejabat Pertanian Jasin mahupun Jabatan Pertanian dengan memberian intensif ini. Pendekatan seperti ini bakal membuka peluang kepada lebih ramai orang tempatan yang meminati bidang pertanian untuk mengubah nasib diri dan negara. Ia sekali gus dapat mengekang warga asing dari mengambil kesempatan meraih keuntungan di tanah-tanah pertanian kita.
Kemudahan dan sokongan kerajaan yang sentiasa di belakang kita pasti dapat memastikan bekalan makanan negara dapat dipenuhi lebih-lebih lagi ramai yang mula menunjukkan minat tinggi dalam mengusahakan tanah-tanah terbiar untuk menghidupkan kembali projek bumi hijau yang pernah menyelamatkan negara dari krisis bekalan makanan satu masa dulu.-UTUSAN
AMRAN AZIZ
Melaka