Bayar hutang guna kaedah bola salji - Utusan Malaysia

Bayar hutang guna kaedah bola salji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGULAS pandangan pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Zuraimy Ali dalam ruangan ini baru-baru ini bertajuk Hidup tenang tanpa dibelenggu hutang.

Saya bersetuju dengan nasihatnya supaya jangan berhutang melebihi daripada gaji kita. Tetapi pandangan itu tidak disertakan cara-cara bagaimana untuk memastikan seseorang itu tidak terus dibelenggu hutang sepanjang hayat.

Sebenarnya terdapat pelbagai cara yang boleh dibuat iaitu pertama, sediakan dana kecemasan sebanyak RM1,500 dengan menyimpan wang daripada gaji dan pendapatan lain selama tempoh tiga bulan.

Duit ini boleh digunakan pada waktu-waktu kecemasan seperti bayaran caj klinik dan membaiki kereta rosak tanpa perlu membuat hutang baharu.

Kedua, selesaikan hutang-hutang yang kecil nilainya terlebih dahulu menggunakan kaedah bola salji yang asalnya kecil, tetapi apabila bergolek akan bertambah saiznya hasil daripada salji yang terkumpul.

Caranya adalah dengan menyenaraikan semua hutang dicampur dengan kadar faedah yang ada, bermula dari yang berbaki kecil sehingga berbaki paling tinggi kecuali hutang rumah.

Daripada senarai hutang ini, pilih hutang yang paling kecil nilainya. Sekarang kita perlu fokus untuk selesaikan hutang yang paling kecil dahulu seperti pinjaman kereta dengan tidak mengabaikan hutang-hutang lain. Cuba sedaya upaya membayar lebih untuk menghabiskan hutang yang nilai paling kecil.

Setelah berjaya menyelesaikan hutang paling kecil, pilih hutang kedua paling kecil di dalam senarai kita dengan cara membayar lebih menggunakan wang bulanan sepatutnya dibayar kepada hutang paling kecil yang kita telah selesaikan.

Begitulah seterusnya bagi menghabiskan semua hutang. Ketiga, sediakan perbelanjaan isi rumah yang mencukupi untuk tempoh tiga atau enam bulan akan datang.

Jika belanja sebulan keseluruhan RM2,000, maka untuk tiga bulan sebanyak RM6,000 dan enam bulan sebanyak RM12,000.

Kenapa langkah ini perlu dibuat? Andai kata terjadilah kita dibuang kerja atau apa-apa kecemasan, kita ada simpanan untuk perbelanjaan isi rumah selama tiga atau enam bulan.

Bayangkan situasi di mana tiada simpanan seperti ini, sudah pasti akan terjadi kes perkelahian antara suami isteri, anak-anak terabai, terpaksa meminjam along dan sebagainya.

Jika perlu, tambahkan pendapatan keluarga untuk membuat simpanan bagi perbelanjaan isi rumah dalam tempoh tiga atau enam belum, eloklah kita membuat kerja-kerja sambilan.

Langkah satu hingga tiga ini perlu dibuat bersungguh-sungguh dengan tempoh sasaran pencapaian dalam masa beberapa tahun. Setelah berjaya, barulah kita memasuki fasa keempat.

Keempat, kita menggunakan 15 peratus daripada baki pendapatan yang ada selepas ditolak semua perbelanjaan bagi membuat simpanan untuk anak-anak.

Kelima, daripada gaji kita selepas tolak semua perbelanjaan yang perlu, 15 peratus diperuntukkan untuk hari tua kita selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan melabur dalam dana-dana unit amanah yang mempunyai rekod pulangan baik dengan kadar faedah purata lapan hingga 10 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Keenam, mana-mana ada baki lebih daripada semua belanja keperluan tadi, lebihkan bayaran hutang rumah. – UTUSAN

MAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya