Awas scammer ibadah korban - Utusan Malaysia

Awas scammer ibadah korban

AKTIVITI jenayah melibatkan haiwan korban bertentangan dengan ketetapan syarak malah mencemari kesucian ibadah dalam bulan Zulhijah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI mana ada peluang, di situ ada ruang bagi jenayah dilakukan. Golongan penjenayah sangat kreatif dalam menjalankan aktiviti jenayah dan penipuan hatta dalam ibadah. Ini termasuk penyusupan aktiviti jenayah dalam rantaian ibadah korban.

Biasanya, aktiviti jenayah jenis ini bermula dari ladang sehinggalah ke tangan pengguna. Ia merangkumi penipuan pakej, penukaran haiwan dan penyeludupan haiwan ternakan, orang tengah yang menipu, penjual ternakan yang tamak serta pencurian haiwan ternakan untuk dijual.

Selain itu, terdapat juga peserta korban yang berkira dan kedekut. Mereka inginkan haiwan yang elok dan besar tetapi dengan harga murah. Biasanya mereka yang menjadi sasaran penjenayah.

Dalam penipuan ibadah korban, terdapat beberapa modus operandi penipuan antaranya pakej yang tidak wujud, menawarkan harga sangat murah, tidak menyembelih haiwan korban tetapi menggunakan haiwan korban orang lain sebagai bukti sembelihan.

Jadi, mereka memanfaatkan seekor haiwan untuk berbilang nama peserta korban. Sering kali berlaku juga haiwan yang ditempah dan dijanjikan berbeza daripada haiwan diterima oleh peserta korban sama ada dari segi jenis, warna atau saiz.

Apa yang lebih membimbangkan apabila pihak penyedia pakej tidak menjelaskan kontrak-kontrak ibadah korban. Justeru, risikonya ibadah korban boleh jadi tidak sah.

Aktiviti jenayah ini bertentangan dengan ketetapan syarak malah mencemari kesucian ibadah dalam bulan Zulhijah. Sedangkan ia adalah bulan untuk melipatgandakan amal ibadah.

Apa yang jelas, perbuatan penipuan dalam apa juga bentuk adalah termasuk dalam perbuatan zalim, maksiat dan dosa. Dosanya berlipat ganda dalam bulan haram. Selain itu, Nabi Muhammad SAW dengan tegas menolak golongan yang menipu dalam kalangan umatnya.

Justeru, pihak yang menguruskan korban perlu berhati-hati dalam mengelola ibadah itu kerana ia melibatkan orang ramai. Haiwan yang dijual beli perlu yang jelas, sihat, bukan binatang curi, seludup atau berpenyakit.

Di samping itu, ia perlu melibatkan niat, akad atau kontrak bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban. Para penyedia pakej korban dan peserta korban perlu jelas dalam perkara yang akan dilakukan kerana ia berkait rapat dengan sah atau tidak ibadah yang dilaksanakan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. ANUAR RAMLI, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya