SAUDARA PENGARANG,
SEMPENA sambutan Hari Wartawan Nasional 2023 (HAWANA) pada 29 Mei lalu, kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk mewujudkan satu undang–undang atau akta khusus bagi mengekang penyediaan dan penularan berita yang bersifat berat sebelah, syok sendiri atau memihak pada mana–mana individu atau institusi sahaja.
Apa yang lebih penting, segala maklumat atau berita yang ingin disalurkan kelak tidak mengundang rasa ragu ataupun syak wasangka dalam kalangan rakyat.
Buat sekian lama, isu bersifat berita berat sebelah atau syok sendiri ini sentiasa mendapat tempat. Isu berita berat sebelah atau syok sendiri ini menyebabkan rakyat rasa terbeban untuk mempercayai sesebuah berita yang disampaikan.
Lama-kelamaan, rakyat juga akan mula rasa menyampah dan meluat dengan berita berat sebelah atau syok sendiri. Oleh itu, usaha perlu diambil bagi memastikan segala jenis berita yang disampaikan kepada rakyat adalah berkualiti, seimbang, diyakini dan boleh digunapakai tanpa ragu-ragu atau syak wasangka.
Dengan ini, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengambil satu langkah tegas bagi membendung sebarang tuduhan ataupun penularan berita tidak seimbang, berat sebelah atau syok sendiri khususnya dalam kalangan warga media sama ada cetak ataupun elektronik.
Apa yang pasti ialah sekiranya tidak dibendung dari awal, ia boleh mengundang bahaya sama juga seperti penularan berita tidak benar kerana bersifat berat sebelah, tidak adil dan tidak profesional. Bahkan boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya, kaum serta agama. Paling penting, ia juga boleh menjejaskan kredibiliti atau nama baik para wartawan serta pengamal media serta keseluruhan industri media itu sendiri.
Dengan adanya undang-undang atau akta ini, segala isu melibatkan berita berat sebelah atau syok sendiri dapat disiasat dengan lebih baik dan teliti malah mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh disabitkan kesalahan.
Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dilihat sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dan berkesan untuk digunakan bagi mengatasi isu berita berat sebelah atau syok sendiri.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)