Air mentah perlu ikut kadar harga pasaran - Utusan Malaysia

Air mentah perlu ikut kadar harga pasaran

KERAJAAN harus memulakan kempen penggunaan air secara berhemah mulai sekarang selaras dengan cuaca panas yang sedang melanda negara. – GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN perlu mengkaji semula harga air mentah yang dijual ke Singapura supaya mengikut kadar pasaran semasa. Mungkin ini salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan dan boleh mengurangkan beban hutang negara yang telah mencecah lebih RM1 trilion.

Dalam pada itu, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), menjelang 2025, separuh daripada penduduk dunia termasuk di Malaysia mungkin akan tinggal di kawasan yang mengalami masalah kekurangan air. Masalah ini akan menjadi bertambah buruk menjelang 2050.

Oleh itu, kerajaan harus memulakan kempen penggunaan air secara berhemah mulai sekarang selaras fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara bermula bulan ini sehingga Oktober. Masalah kekurangan air juga akan mengancam pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik dunia.

Saya menyarankan kerajaan menambah pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk penerokaan sumber air baharu, rawatan air mentah dengan kos minimum dan perbekalan air bersih terawat secara efisien bagi kegunaan domestik dan industri.

Air laut dan air kumbahan yang dinyahgaramkan serta dirawat boleh dipertimbangkan sebagai sumber air bagi tujuan pengairan tanaman jika kos tidak terlalu mahal.

Malaysia menerima taburan hujan yang banyak setiap tahun sehingga menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kawasan.

Salah satu cara untuk memanfaatkan rahmat ini adalah dengan mengumpul air hujan melalui sistem penuaian air hujan (SPAH).

Kos pemasangan dan penyelenggaraan SPAH agak mahal. Jika ia dapat diatasi ataupun dikurangkan, SPAH dapat diperluaskan penggunaannya ke seluruh negara.

Jika dunia mengalami krisis bekalan air, kerajaan mesti mengutamakan kepentingan rakyat dahulu sebelum menjual air mentah kepada mana-mana negara luar.

Dengan kesan perubahan iklim yang semakin buruk saban tahun, tidak mustahil air terutama air bersih terawat akan menjadi lebih bernilai daripada emas suatu hari nanti. –  UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya