Tukar nama Pusat Koreksional Perlis - Utusan Malaysia

Tukar nama Pusat Koreksional Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN kita sudah pun menyambut Hari Kebangsaan Ke-65 pada 31 Ogos lalu, namun saya perhatikan bahawa tahap penggunaan bahasa Melayu masih boleh dipertingkatkan lagi.

Salah satu peningkatan yang perlu dibuat termasuk dari segi penggunaan kata pinjaman daripada bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.

Semasa cuti Hari Raya Aidilfitri lalu, saya berpeluang untuk tinggal di Perlis selama seminggu. Ketika memandu, saya terpandang papan tanda jalan yang ditulis dengan perkataan Pusat Koreksional Perlis.

Setelah ditinjau, pusat ini terletak di Jalan Kok Klang, Kampung Guar Nangka, Mata Ayer, Kangar. Pusat ini adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara Malaysia (JPM).

Perkataan koreksional ini tiada dalam bahasa Melayu. Setelah disemak dengan Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2020, memang betul perkataan itu memang tiada dalam entri kamus terbabit.

Rakyat Malaysia perlu menghormati akan peranan DBP. Agensi kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan ini adalah sebuah badan perancangan bahasa. Para pegawai DBP boleh memberikan nasihat dan bimbingan tentang penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan indah.

Pun begitu, badan ini masih belum lagi diberikan kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang enggan menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul, termasuklah ejaan.

Berbalik kepada nama Pusat Koreksional Perlis, penulis merasakan bahawa JPM mengambil daripada perkataan bahasa Inggeris – correctional. Apakah keperluan JPM berbuat begini?

Sepatutnya, mereka bertanyakan dahulu dengan DBP untuk merumuskan apakah perkataan dalam bahasa Melayu yang sesuai untuk pusat ini.

Saya difahamkan bahawa DBP pernah menghantar surat teguran kepada JPM, supaya tindakan pembetulan dibuat. Namun, pihak JPM masih mahu mengekalkan nama itu sedangkan nama dalam bahasa Melayu yang betul iaitu Pusat Pemulihan Perlis. – UTUSAN

HAJI KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya