SAUDARA PENGARANG,
SESUAI dengan kerajaan madani yang sedang berusaha untuk mengangkat kesejahteraan rakyat dan menyediakan perkhidmatan terbaik tanpa mengira kaya atau miskin. Kini sudah sampai masa kerajaan memikirkan untuk menyediakan perkhidmatan hospital pakar terutama kepada golongan rakyat kurang berkemampuan.
Pemerhatian di jabatan pesakit luar di sebuah hospital peringkat daerah mendapati tidak kurang daripada 1,500 pesakit setiap hari. 15 pegawai perubatan ditugaskan untuk berjumpa dan merawat para pesakit. Ini bermakna seorang pegawai perubatan berjumpa dan merawat kira-kira 100 pesakit sehari. Dalam masa lima tahun, pegawai perubatan merawat 156,000 orang. Andai semua pesakit ini dalam kategori atau jenis penyakit yang sama seperti telinga, hidung dan tekak (ENT), gastrointensinal dan sebagainya, maka pegawai perubatan tersebut telah menjadi seorang doktor pakar berpengalaman. Ijazah lanjutan baginya hanya formaliti sahaja.
Sebenarnya tahap perkhidmatan kesihatan kerajaan sekarang sudah pun tinggi. Apa yang ada di hospital swasta seperti premis, peralatan dengan mesin pengimbas yang terbaharu, makmal saringan darah dan sebagainya sudah dapat disediakan di hospital kerajaan.
Sekarang perkhidmatan saringan darah boleh diperoleh secara percuma daripada hospital kerajaan tetapi saringan darah tidak memberi apa-apa makna jika tidak dipantau oleh doktor tersebut. Dengan terlaksananya sistem perkhidmatan pakar kerajaan, pemantauan pesakit dapat diperluaskan terutama dalam kalangan rakyat tidak berkemampuan.
Sistem pakar jika dilaksanakan akan membuka luas prospek dan kerjaya para doktor kerajaan. Dalam masa kurang dari 10 tahun, seorang doktor boleh menjadi pakar yang berpengalaman dan seterusnya boleh memilih untuk menetap di hospital kerajaan atau berhijrah ke swasta. Seorang doktor pakar patut berada dalam gred JUSA C sekurang-kurangnya.-UTUSAN
MOHAMED YUSOFF YAHYA
Batu Gajah, Perak