SAUDARA PENGARANG,
HARI Guru yang disambut pada setiap 16 Mei bertujuan menghargai jasa dan perjuangan para guru dalam arena pendidikan.
Sumbangan dan jerih payah mereka tidak dapat dinafikan.
Tema tahun ini, Guru Insani Pemangkin Generasi Madani mengingatkan kita betapa tugas dan peranan guru cukup besar untuk menjadi obor penggerak bagi melahirkan generasi madani yang memiliki ketinggian ilmu dan adab serta jati diri bangsa yang kuat.
Antara ciri-ciri diperlukan untuk menjadi guru insani ialah berkeupayaan memahami emosi murid, empati dan menyuburkan nilai kasih sayang ke dalam jiwa bagi memenuhi keperluan fisiologi dan psikologi mereka.
Guru juga perlu memiliki kemampuan untuk menyampaikan ilmu dengan penuh tanggungjawab dan berhemah dalam pengajaran. Pada masa sama, sentiasa meningkatkan ilmu dan profesionalisme keguruan dengan belajar dan terus belajar terutama berdepan era VUCA (kemeruapan, ketidakpastian, kerumitan, kesamaran), cabaran Revolusi Industri (IR) 5.0 dan kecerdasan buatan (AI).
Guru insani juga perlu menguasai kemahiran teknologi digital. Ini kerana proses tranformasi ilmu bersifat dinamik, kreatif dan inovatif. Kemampuan menguasai pedagogi seperti cybergogi dan teknogogi akan melahirkan generasi madani yang celik maklumat dan pantas menguasai ilmu.
Ciri seterusnya ialah qudwah terbaik kepada murid. Guru perlu mampu menerapkan adab dan nilai yang menjadi teras utama pembinaan generasi madani. Ini selari dengan sabda Nabi SAW: “Allah telah mendidik aku dengan sebaik-baik didikan.”
Tanpa pembudayaan adab dan nilai, maka generasi yang lahir nanti akan rapuh jati diri, mudah terpengaruh dengan anasir luar serta tidak memenuhi hasrat termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Semua guru perlu menyahut cabaran ini untuk menjadikan mereka guru insani. Warga guru wajar mendukung cita-cita ini dan bergerak seiringan untuk merealisasikan pembinaan generasi madani.-UTUSAN
MOHD. AZIZEE HASAN
Presiden Ikatan Guru
Muslim Malaysia (iGuru)