SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA kini berada di fasa kemelesetan dan inflasi. Permasalahan ini semakin meningkat dan jelas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Ramai rakyat terkesan terutama mereka yang tidak berkemampuan. Saat ini ramai dalam kalangan kita yang buat lebih daripada satu kerja demi menyara keluarga dan diri sendiri. Dengan kata mudah, di zaman inflasi sebegini kita perlu bijak berbelanja dan tidak membazir.
Antara cara membantu mengurangkan perbelanjaan makanan adalah dengan menanam sayur-sayuran atau buah-buahan di rumah.
Misalnya, menanam pokok bendi, terung, ubi kayu, labu dan banyak lagi. Hal ini dapat mengurangkan perbelanjaan bahkan meningkatkan kesihatan seisi keluarga dengan menikmati makanan segar.
Di samping itu, dalam proses penanaman sayur-sayuran ini memerlukan baja untuk meningkatkan kesuburan tanaman.
Seperti kita sedia maklum, di Malaysia sebanyak 44.5 peratus daripada komposisi sisa pepejal harian adalah sisa makanan.
Oleh itu, demi mengurangkan sisa makanan daripada dibazirkan, maka kita wajar memanfaatkan dengan menjadikannya sebagai baja organik untuk tanaman.
Dengan berbuat demikian, perbelanjaan untuk baja tanaman tidak perlu lagi, pembaziran makanan berkurang, perbelanjaan sayur-sayuran juga berkurang dan kesihatan pemakanan terjaga.
Natijahnya, rakyat dapat mengurangkan beban perbelanjaan dan dapat menggunakan wang mereka untuk perkara yang lebih penting.
Seterusnya, cara menghasilkan baja menggunakan sisa makanan adalah dengan merendamkan sisa terbabit di dalam air dan biarkan selama tiga hari atau lebih kemudian menapis sisa makanan yang tidak hancur tadi dan buang ia ke dalam tong sampah.
Ini kerana kita hanya memerlukan airnya. Kemudian air sisa makanan tadi sudah boleh digunakan sebagai baja tanaman. Tanaman akan menjadi lebih subur.
Dalam masa sama, pembajaan menggunakan sisa makanan ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan membeli baja malah dapat dijadikan sebagai idea perniagaan bagi membantu menjana ekonomi keluarga. – UTUSAN
NUR AINA BALQIS, Kuala Kangsar, Perak