SAUDARA PENGARANG,
KHABAR angin kononnya kerajaan hari ini tidak akan bertahan lama sudah berlegar di media sosial sejak kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Khabar itu terus bertiup kencang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
Muat naik kenyataan di laman Facebook pro-Perikatan Nasional (PN) termasuk para pemimpin mudanya membayangkan mereka sudah ada ‘nombor’ untuk menggulingkan kerajaan perpaduan. Ini menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat yang tidak mahu peristiwa lalu berulang lagi.
Namun, baru-baru ini Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan parti itu menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Bila difikirkan, PH pun bersalah kerana semasa mereka menjadi pembangkang dahulu pun amat suka memainkan persepsi sama untuk menggugat kestabilan kerajaan.
Kami memilih dalam PRU lepas bukan untuk mengulangi skrip pasca PRU14 sampai adanya tiga perdana menteri dalam sepenggal. Sepatutnya PN menunjukkan contoh baik dengan menjadi pembangkang berwibawa yang berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan sekarang.
Mereka sepatutnya membawa isu-isu rakyat seperti kenaikan buat kali kelima Kadar Dasar Semalaman (OPR) seperti yang berlaku baru-baru ini.
Tidak usahlah PN mewujudkan suasana politik yang tidak tenteram dengan harapan kerajaan madani tumbang separuh jalan.
Percayalah, kalau naik jadi kerajaan pun, mereka akan berdepan tekanan yang sama.
Tunggulah masa pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka tidak lama lagi, buktikan rakyat benar-benar menyokong PN.-UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur